IZZUE Islam berharap bisnes diceburi akan beri inspirasi dan pengaruh yang positif kepada peminat untuk berjaya. FOTO Instagram Izzue Islam
IZZUE Islam berharap bisnes diceburi akan beri inspirasi dan pengaruh yang positif kepada peminat untuk berjaya. FOTO Instagram Izzue Islam
Ramlah Zainal


“JANGAN bandingkan pencapaian saya dalam bidang seni dan bisnes dengan Datuk Seri Siti Nurhaliza kerana pastinya dia sudah jauh ke hadapan,” kata penyanyi dan pelakon terkenal Izzue Islam ketika mengulas anugerah yang diterimanya, Jumaat lalu.

Izzue antara barisan selebriti tempatan yang menerima Anugerah 100 Usahawan Muda Paling Berpengaruh oleh Entrepreneur Insight yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Izzue nama sebenarnya Muhammad Izzul Islam Mazlan, 29, berkata, dia lebih suka melihat komen segelintir pihak yang menganggap dirinya belum layak menerima anugerah itu dari sudut positif.

“Penganjur sendiri yang hubungi saya untuk menerima anugerah ini dan percaya mereka ada kriteria tertentu dalam memilih selebriti.

“Saya dan isteri menceburi bisnes untuk jaminan masa depan kerana kami tahu bidang seni ada pasang surutnya.

“Sebab itu, saya sendiri kembangkan cabang seni sedia ada kepada pengacaraan, penyampai radio dan pelawak,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, dia menganggap anugerah yang diterima sebagai rezeki daripada Allah SWT dan cukup bermakna sepanjang 10 tahun pembabitan dalam bidang seni tanah air.

Lebih bermakna katanya, anugerah itu disempurnakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Selain Izzue, penerima anugerah kalangan selebriti ialah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Fasha Sandha, Awal Ashaari, Nelydia Senrose, Wany Hasrita, Shaheizy Sam, Fara Fauzana dan ramai lagi.

“Walaupun sudah sedekad dalam bidang seni, saya baru enam tahun menceburi bisnes pakaian dan kosmetik.

“Namun, saya anggap anugerah diterima dapat menyuntik semangat untuk saya dan isteri, Awin Nurin mengembangkan lagi bisnes sedia ada,” katanya.

Pada masa sama, kata Izzue, sebagai artis, dia juga memiliki tanggungjawab apabila sudah menerima anugerah terbabit.

“Saya berharap bisnes diceburi akan beri inspirasi dan pengaruh yang positif kepada peminat untuk berjaya dalam bisnes diceburi mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Ogos 2019 @ 8:25 PM