PASANGAN bahagia turut disajikan makan malam romantik.
PASANGAN bahagia turut disajikan makan malam romantik.
MAJLIS hari lahir diraikan bersama kelab peminat.
MAJLIS hari lahir diraikan bersama kelab peminat.
Oleh Ramlah Zainal


Usia perkahwinan mereka baru mencecah dua tahun dan dalam tempoh itu, pelbagai ujian dan kontroversi yang mereka lalui sekali gus menguji keutuhan mahligai dibina pelakon popular Izzue Islam dan isterinya, Awin Nurin.

Lantaran itu, demi menjaga keharmonian rumah tangga mereka, Izzue turut meletakkan syarat kepada pengarah dan produser tiada adegan bersentuhan dengan pelakon wanita sebelum menerima tawaran berlakon.

Secara peribadi, pemilik nama sebenar, Muhammad Izzul Islam Mazlan, 25, mengakui selepas berkahwin dia perlu memastikan kebahagiaan rumah tangga dan kerjaya seni bergerak seiringan.

“Terus terang, Awin memainkan peranan dan pengaruh yang sangat besar dalam hidup saya. Tanpa kerja keras dan pengorbanannya yang bukan sedikit, saya tidak dikenali ramai seperti hari ini.

“Sebab itu, saya buat keputusan berkahwin pada usia 22 tahun kerana kerana percaya dialah yang terbaik untuk saya,” katanya.

Berkongsi rahsia kebahagiaan rumah tangga, kata Izzue, kesetiaan dan persefahaman memainkan peranan penting dalam hubungan suami isteri.

“Saya akui sampai sekarang orang kata Awin macam-macam termasuk dakwaan dia cemburu dan mengongkong hidup saya dan sebagainya. Sebenarnya, saya yang mahu dia mengawal hidup saya kerana dia lebih tahu selok-belok dalam bidang hiburan tempatan,” katanya.

Izzue ditemui pada majlis sambutan hari lahirnya yang ke-25 di N’dah Catering & Wedding Planner di Seksyen 14, Shah Alam di sini, baru-baru ini.

Selain memakai kostum kartun popular Bugs Bunny sebagai kejutan, Izzue turut menghadiahkan seutas rantai leher kepada isterinya. Majlis hari lahirnya itu dihadiri kelab peminat dan rakan artis serta pihak media yang menyokong kerjaya seninya selama ini. Justeru, kata Izzue, dia juga selesa karier seninya diuruskan Awin sendiri sejak dulu.

“Setakat ini, saya memang tidak terfikir mencari orang lain untuk menguruskan kerja saya dan akan berasa kekok kalau Awin tidak ada dengan saya sama ada di lokasi penggambaran drama dan filem mahupun dalam mana-mana acara hiburan.

“Awin juga bijak menyesuaikan diri kerana apabila bekerja dia adalah pengurus, tetapi apabila di rumah dia terus bertukar menjadi isteri pula,” katanya.

Serah soal anak pada rezeki

Seperti pasangan selebriti lain, Izzue juga tidak terlepas di tanya soal anak selepas dua tahun berumah tangga. Bagaimanapun, pelakon filem Suami Aku Ustaz ini tetap tenang menjawab soalan dan menyerahkan perkara itu kepada Allah SWT.

“Kami tidak berasa tekanan apabila kerap di tanya mengenai anak kerana ia bergantung kepada rezeki. Kami juga tidak merancang sama ada cepat atau lambat untuk dapat anak kerana ia ketentuan Allah SWT,” katanya.

Ditanya sama ada dia merancang berjumpa doktor dalam usaha untuk mendapat zuriat, Izzue belum terfikir ke arah itu.

“Saya percaya kami berdua tidak ada sebarang masalah kesihatan cuma belum ada rezeki lagi. Pada masa sama, kami juga belum betul-betul dapat berbulan madu kerana kesibukan kerja,” katanya.

Dalam perkembangan lain, kerjaya lakonan dan nyanyiannya juga berjalan lancar ketika ini.

Bukan saja tawaran berlakon dan mengacara tidak pernah putus, Izzue dan kumpulannya, Forteen baru muncul dengan single terbaru mereka berjudul Linangan Terakhir ciptaan Edry Abdul Halim.

Antara program barunya ialah Meh Raya Meh untuk TV9, program raya bersama Pak Nil dan Didie Alias dan Aku Yang Raya Kau Yang Masak (Astro).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Jun 2015 @ 5:03 AM