Izzue sudah ada perbincangan dengan pengarah berhubung dialog. FOTO NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN
Izzue sudah ada perbincangan dengan pengarah berhubung dialog. FOTO NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN
Rudy Imran Shamsudin


SELEPAS memberikan syarat tidak boleh bersentuhan dengan pelakon wanita, timbul dakwaan terbaru, aktor dan penyanyi, Izzue Islam tidak mahu menyebut perkataan ‘sayang’ seperti tertera di dalam skrip.

Bagaimanapun Izzue dihubungi, hari ini menjelaskan ia bukanlah syarat membabitkan isu bersentuhan tetapi lebih kepada kesesuaian jalan cerita dan watak perwatakan lakonan.

“Memang saya ada cantas (potong) dialog ungkapan sayang tetapi bukanlah sesuka hati melakukannya. Ianya bergantung kepada kesesuaian.

“Saya nafi memandai-mandai membuat keputusan itu sebaliknya perbincangan sudah dibuat dengan pengarah selepas menilai karakter dan jalan cerita,” katanya.

Izzue berkata dia turut menjaga ‘konti’ watak, jalan cerita dan ungkapan sayang harus digunakan pada situasi sesuai.

“Walaupun watak menampilkan saya kekasih kepada heroin tetapi tidak semua ungkapan sayang sesuai diucapkan.

“Jika di awal perkenalan dua watak utama tiba-tiba terus panggil sayang mestilah penonton berasa janggal.Silap hari bulan pelakonnya dituduh gatal,” katanya.

Begitu juga situasi digambarkan sepasang kekasih bergaduh besar.

Izzue berkata, tidak mungkin mereka menggunakan ungkapan sayang sebaliknya kekasih bergaduh akan memanggil pasangan mereka dengan panggilan ‘I’ atau ‘You’. Lebih kasar engkau dan aku.

“Walaupun kedengaran kasar tetapi masih sesuai dengan situasi mengambarkan perasaan marah membabitkan sepasang kekasih,” katanya.

Tegas Izzue, perkara tidak seharusnya ditimbulkan dan menjadi isu kerana apa dilakukan semata-mata memastikan watak dilakonkan benar-benar hidup di layar filem atau kaca TV.

“Kadang-kadang apabila berlakon dalam adegan bercinta, perkataan sayang yang jarang disebut akan memberikan impak rasa lebih dan sangat istimewa,” katanya.

Izzue atau Muhammad Izzul Islam Mazlan berkata andai cadangannya tidak diterima pengarah, dia tetap melontarkan dialog seperti apa dimahukan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 April 2018 @ 4:55 PM