HUBUNGAN Wanna dengan Riz rapat seperti keluarga. FOTO Arkib NSTP
HUBUNGAN Wanna dengan Riz rapat seperti keluarga. FOTO Arkib NSTP
Ramlah Zainal


“RIZ, mempunyai akhlak yang baik dan sentiasa berfikiran positif.

“Saya juga selesa berkawan dengannya dan hubungan kami rapat bagaikan keluarga,” kata penyanyi dan pelakon jelita Wanna Ali, 21, mengulas sejauh mana hubungannya dengan pelakon dan bekas peserta program realiti Pencetus Ummah (PU) Riz yang mencuri perhatian ramai ketika ini.

Menurut anak produser Datuk Ayu Putih itu, dia juga tidak menolak seandainya ditakdirkan mereka bercinta pada masa depan.

“Saya percaya, semua wanita mencari lelaki atau bakal suami yang memiliki ilmu agama seperti Riz.

“Sebab itu mama juga merestui seandainya ditakdirkan Riz menjadi menantunya,” katanya kepada Harian Metro.

Mengenai kontroversi yang melanda Riz atau nama sebenarnya Haris Ismail, Wanna mengakui cerita yang tersebar itu tidak betul.

“Maaflah saya tidak mahu memberi komen mengenai kontroversi terbabit.

“Saya juga harap tidak ada pihak yang membuat spekulasi kami berkawan rapat hanya untuk gimik melariskan drama lakonan, Ada Apa Dengan Dosa pula.

“Apa yang berlaku hanya secara kebetulan saja,” katanya.

Mengulas hubungannya dengan anak produser terkenal, Datuk Ziela Jalil, Megat Jufri Nasrullah pula, kata Wanna, dia akur mereka tiada jodoh.

“Kami sudah lama putus sejak saya menjadi pengapit adiknya Julia pada majlis perkahwinannya sebelum ini.

“Namun, kami masih lagi berkawan biasa kerana memiliki kelompok rakan yang sama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2019 @ 3:17 PM