PU Riz dan Neelofa. FOTO Instagram
PU Riz dan Neelofa. FOTO Instagram
Wartawan HM


Kuala Lumpur: Pengacara dan pelakon popular, Neelofa terus membisu dan bermain teka-teki mengenai gosip dia dan PU Riz bakal melangsungkan pernikahan hujung minggu ini.

Sebagaimana kisah pernikahan kakaknya, Noor Nabila dengan Engku Emran Engku Zainal Abidin minggu lalu yang sebelumnya turut merahsiakan perkara itu, Neelofa juga dilihat mengambil tindakan serupa.

Sejak tular mengenai hubungan mereka termasuk dikatakan sudah dirisik keluarga Riz, namun kedua-duanya tidak pernah mengesahkan mengenai hubungan mereka.

Hingga hari ini, khabar angin mengenai mereka bakal mendirikan rumah tangga terus hangat diperkatakan di media sosial.

Rata-ratanya tidak sabar menanti pengumuman rasmi kebenaran gosip yang bertebaran sejak semalam di Internet.

Setakat ini, semakan di Instagram Neelofa mendapati dia memuat naik hantaran tiga potongan doa mengenai dipermudahkan urusan.

Dalam hantaran itu dia turut meminta pengikutnya di Instagram mendoakannya dalam doa-doa mereka. Ia sekali gus mencetus tanda tanya peminat yang mengandaikan adakah ia berkaitan majlis pernikahannya dengan Riz.

Semakan di Instagram Riz pula mendapati dia masih belum membuat sebarang komen berhubung gosip berkenaan walaupun dihujani pelbagai ucapan tahniah dan doa.

Malah, Riz seakan tidak terkesan dengan gosip itu apabila dia dilihat meneruskan kehidupan peribadinya seperti biasa dengan memuat naik mengenai perniagaan yang diusahakan.

Pada Disember tahun lalu, Neelofa dalam kenyataannya menafikan dakwaan sudah melangsungkan perkahwinan dengan Riz dan dinikahkan bapa kandungnya di Kelantan.

Neelofa turut menafikan tuduhan yang mendakwa kononnya dia terkena ubat pengasih dan memindahkan sejumlah wang kepada pendakwah muda itu.

Kisah hubungan cinta pasangan ini mendapat perhatian ramai apabila Neelofa dikatakan tidak lagi memakai cincin merisik pemberian keluarga Riz.

Bagaimanapun pada awal tahun ini, Neelofa dilihat memakai semula cincin terbabit di jari manisnya sekali gus membuktikan hubungan mereka masih berada dalam keadaan baik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mac 2021 @ 3:17 PM