LAN pelawa 2 anggota asal Exist terbabit pembikinan single terbaharu.
LAN pelawa 2 anggota asal Exist terbabit pembikinan single terbaharu.
Rudy Imran Shamsudin


Selepas kejayaan mini konsert Lan Solo Next Level yang berlangsung di Malaysia Tourism Centre (MaTiC), Kuala Lumpur, Mac lalu, bekas penyanyi utama Kristal ini menyimpan hasrat untuk meneruskan kerjasama dengan bekas anggota asal kumpulan yang pernah disertainya itu.

Pada malam konsert Lan Solo Next Level, Lan pertama kali menampilkan anggota asal kumpulan Kristal iaitu Ainol selaku pemain dram dan Ezal (gitar) untuk beraksi bersamanya di atas pentas.

Sewaktu ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) di Kuala Lumpur, baru-baru ini, rata-rata peminat yang hadir menyaksikan konsert terbabit menyukai gabungan semula mereka bertiga.

“Tidak kurang ada yang suka apabila kami bersatu kembali dan menyarankan agar saya bersama Ainol dan Ezal kembali bergabung.

“Mendengar saranan mereka hati saya terdetik, mengapa tidak? Lagipun, antara kami memang sudah ada keserasian. Apabila bergabung ia seakan-akan mengimbau kembali kenangan dan semangat pada awal pembabitan kami dalam industri muzik,” katanya.

Jelas Lan atau nama sebenarnya Mohd Razlan Mohamed Yusof, bagi merealisasikan impian peminat dia mempelawa Ainol dan Ezal untuk sama-sama terbabit dalam pembikinan single terbaharunya.

“Ia tidak bermakna kami akan menubuhkan kumpulan baharu menggunakan nama Real Kristal atau apa saja kaitan dengan Kristal. Kerjasama kami ini tidak ada kaitan dengan kumpulan yang pernah kami anggotai” katanya.

Jelan Lan lagi, dia tahu Ainol dan Ezal juga mempunyai impian dan perancangan untuk kembali bergabung cuma mereka tidak meluahkan isi hati. Jadi, dia mengambil keputusan buka ruang dan mengajak dua temannya itu bekerjasama.

Kata Lan, gabungan bekas anggota kumpulan Kristal itu diharap dapat memberikan mereka kelebihan dalam mencari rezeki.

“Ainol misalnya, saya memang tahu dia tiada masalah kerana aktif sebagai pemuzik undangan dan bekerjasama dengan banyak band popular. Soal pendapatan, dia agak senang.

“Berbeza dengan Ezal, dia ada kerja tetap tetapi saya mahu ajak bekerjasama agar dia dan kami dapat pendapatan lebih.

“Bagi saya, jika saya senang biarlah rakan lain turut merasai perkara sama,” katanya.

Bagaimanapun, kerjasama ini kata Lan bukanlah untuk selama-lamanya. Ainol dan Ezal bebas untuk bekerja dengan orang lain.

“Kerjasama ini berdasarkan projek. Bergantung kepada masa terluang masing-masin. Sementara untuk pemain gitar kami akan menggunakan khidmat pemuzik undangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2019 @ 5:00 AM