NAIM cintai dua cabang seni namun selesa fokus karier nyanyian.
NAIM cintai dua cabang seni namun selesa fokus karier nyanyian.
Ardini Sophia Sina


BUKAN mudah bagi anak seni mempertahankan kedudukan dalam industri hiburan. Pelbagai usaha perlu dilakukan bagi memastikan nama kekal relevan dan diterima peminat.

Itu yang dilalui pelakon dan penyanyi Naim Daniel. Selepas 12 tahun mencanai bakat, bakat muda ini menetapkan misi dan visi kembara seninya.

Karier Naim bermula ketika dia berusia lapan tahun menerusi drama rantaian Cucu Betong. Namun, kehadirannya hanya mula disedari umum beberapa tahun kebelakangan ini.

Malah, kerjaya jejaka berusia 22 tahun itu tidak hanya meledak sebagai pelakon, tetapi lagu dendangannya turut mencuri perhatian peminat.

Pastinya lakonan Naim menerusi filem Bisik Pada Langit serta drama Pia dengan karakter insan kurang upaya berjaya menjentik hati penonton.

Mengulas perkembangan positif kariernya, pemilik nama sebenar Muhammad Naim Daniel Baharin itu mengakui mencintai dua cabang seni itu.

Namun, buat masa ini muzik menjadi keutamaannya, tetapi sekiranya ada tawaran berlakon yang menawarkan watak menarik dan bersesuaian dengan dirinya pasti diterima dengan hati terbuka.

“Sama ada lakonan atau nyanyian, kedua-duanya berjalan seperti biasa buat masa ini. Cuma, saya lebih selesa untuk lebihkan perhatian terhadap karier nyanyian.

“Saya juga pernah menolak lebih 10 tawaran lakonan bagi memberikan laluan kepada nyanyian dan tidak timbul rasa ralat kerana ia adalah pilihan saya,” katanya.

Berbicara mengenai single ketiga berjudul Sumpah, Naim tidak menyangka karya berkenaan mendapat maklum balas positif daripada pendengar.

NAIM bawa watak Budi dalam drama Pia.  FOTO: Khairul Azhar
NAIM bawa watak Budi dalam drama Pia. FOTO: Khairul Azhar

“Alhamdulillah, lagu ini mendapat sambutan hangat sejak dilancarkan pada April lalu. Saya sendiri tidak sangka ia berjaya sampai ke tahap ini.

“Saya juga gembira dan terharu apabila karya ini dipilih menjadi salah satu runut lagu bagi drama bersiri Pia,” katanya.

Tidak hanya lagu, lakonannya bersama Zara Zya dan Aliff Satar itu juga mendapat pujian daripada penonton yang mengikuti cerita itu dari awal hingga episod akhir.

“Watak Budi bukan karakter yang mudah dilakonkan apalagi dia penghidap cerebral palsy. Sedikit sebanyak, watak ini membantu menaikkan nama saya.

“Terima kasih kepada pengarah yang percaya bakat saya. Ini rezeki untuk saya terus membina nama sebagai pelakon,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2019 @ 4:30 AM