STATUS Bintang Paling Popular pada ABPBH ke-32 tidak pengaruhi jumlah bayaran.
STATUS Bintang Paling Popular pada ABPBH ke-32 tidak pengaruhi jumlah bayaran.
Oleh Ardini Sophia Sina


TUJUH tahun meniti kehidupan sebagai anak seni, kembara seni Mira Filzah tetap utuh walau dengan kehadiran ramai bakat baharu yang bersilih ganti mewarnai pentas lakonan.

Memiliki senyuman manis dan pesona tersendiri, graf kerjaya pelakon berusia 26 tahun ini terus meningkat.

Popularitinya kemudian meledak selepas membintangi drama bersiri Lelaki Kiriman Tuhan diikuti Pujaan Hati Kanda dan terbaharu, Sweet Dreams.

Profil kerjaya Mira juga dilihat lebih ‘mahal’ sebaik wanita ini diumumkan Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32, September lalu.

Pada malam kemuncak ABPBH itu juga, Mira turut merangkul trofi Pelakon TV Wanita Popular Alha Alfa dan Pelakon Filem Wanita Popular serta kategori online iaitu Gandingan Serasi Drama Popular menerusi Pujaan Hati Kanda.

Bagaimanapun, Mira menegaskan kemenangan itu tidak mempengaruhi jumlah bayaran ditetapkan, namun anugerah berkenaan memberikan sedikit tekanan untuk tampil lebih baik.

“Dari segi bayaran, semuanya masih sama. Menang anugerah bukanlah sebab kukuh untuk menaikkan bayaran bagi setiap pembabitan.

Bagi saya, bayaran untuk hasil kerja itu bergantung pada komitmen terhadap sesebuah projek.

Sebenarnya, apabila menang anugerah, saya dapat rasakan tanggungjawab semakin berat.

KEMENANGAN membuatkan Mira perlu tampil lebih baik.
KEMENANGAN membuatkan Mira perlu tampil lebih baik.

Saya tidak mahu orang katakan menang anugerah, tetapi lakonan masih berada di tahap yang sama.

“Kemenangan itu membuatkan saya perlu tampil lebih baik. Saya mahu bakat dan kemenangan bergerak seiring dan apabila penonton melihat lakonan ditampilkan mereka rasakan saya layak untuk julang trofi berkenaan,” katanya.

Kini sibuk dengan penggambaran drama Adella Sofea, kata Mira, sebagai wanita bertudung, dia sejak awal agak selektif kerana tidak semua watak sesuai untuk dilakonkan.

Mengakui penampilannya menjadi antara penyebab dia akan melakonkan watak sama, Mira tidak melihat situasi itu sebagai keburukan kerana gandingan serta pengarah akan memberikan ‘rasa’ berbeza pada sesebuah watak itu.

“Ya, memang benar ramai pelakon yang ingin membawakan watak berbeza dan cuba mengelak melakonkan watak sama kerana bimbang penonton akan bosan. Saya selektif bermaksud memilih watak yang saya yakin boleh bawa. Saya perlu akur, tidak banyak watak yang boleh dibawa kerana bertudung.

“Namun, walaupun skopnya lebih kecil, saya percaya, gandingan dan pengarah berbeza membuatkan watak itu akan diberikan sentuhan berlainan daripada apa yang pernah dilakonkan sebelum ini,” katanya.

DIKRITIK KERANA PAKAIAN

Meniti kerjaya diulit populariti, setiap gerak-geri mahupun perubahan Mira diteliti peminatnya. Setiap kali ada yang tidak kena di mata, mereka akan menegur wanita itu.

Begitu juga dengan penampilannya menerusi drama Sweet Dreams dan terbaharu dalam klip video lagu Baby Sayang nyanyian Caprice.

Rata-rata ramai mendakwa Mira sudah berubah selepas menjadi bintang terkenal.

Bagaimanapun, Mira menegaskan pemakaiannya dalam dua projek berkenaan hanyalah memenuhi tuntutan watak dan bukanlah fesyen yang disarungkan dalam kehidupan harian.

“Orang mula bercakap apabila saya memakai skirt dalam drama Sweet Dreams dan tudung pun singkat.

“Tetapi, ia lebih hebat diperkatakan apabila saya tampil dalam klip video lagu Baby Sayang kerana skirt itu agak singkat, namun ia dipadankan dengan but.

“Apabila dimaklumkan watak dalam Baby Sayang adalah isteri kepada mafia, saya serahkan pada jurugaya untuk sediakan pakaian yang sesuai dengan watak dan itu adalah apa mereka berikan.

“Pada saya, tidak ada kulit yang terdedah pun. Saya masih menutup yang sepatutnya dan itu bukanlah pakaian harian pun.

“Insya- Allah, apa yang saya tutup sekarang ini akan kekal seperti itu,” jelas Mira.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Oktober 2019 @ 5:20 AM