JOEY di Hospital Ampang.
JOEY di Hospital Ampang.
Ridzuan Abdul Rahman


"KETIKA itu saya rasa macam nak mati. Dada sakit sangat manakala pandangan mata pun tidak berapa jelas.

"Berdenyut-denyut rasa seluruh badan dan dada rasa nak pecah," kata penyanyi kumpulan Rock Bumiputra Rockers, Joey yang mengalami kemalangan jalanraya petang semalam.

Joey atau Johari Mat Rozekhi, 56, berkata, kejadian berlaku sekitar jam 6 petang sewaktu pulang daripada berjumpa Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi di Taman Melati.

"Kami berbincang kerana saya mahu menggunakan studio Seniman untuk satu projek khas.

"Selepas itu saya pulang ke rumah dengan menaiki motosikal mengikut laluan Lebuhraya Lingkaran Tengah 2. Kelajuan saya hanya 80 kilometer sejam.

"Ketika mendekati sebuah stesen minyak, saya bercadang nak isi minyak dan terus bagi isyarat masuk ke kiri tetapi sebuah kereta dari belakang makin lama makin merapati saya," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Joey, pemandu kereta itu tidak perasan dia di depan memaksa dia bertindak menyelamatkan diri.

"Dia tidak perasan saya dan mungkin sedang main telefon. Apabila keretanya semakin rapat, saya cuba mengelak dan begitu juga dia.

"Dalam keadaan kelam kabut dan keliru, saya terpaksa pusing motor dan tergelincir jatuh.

"Saya tergolek dalam keadaan dada jatuh dahulu dan motor itu pula agak berat. Nasib baik tiada lori atau kereta datang 'lenyek' saya," katanya.

Joey bersyukur kerana penunggang motosikal lain segera memberhentikan motosikal dan menutup laluan serta membantunya.

"Mulanya saya terbaring atas jalan raya. Mereka kemudian bantu saya untuk bangun.

"Saya enggan biarkan motosikal di situ dan terus hidupkan enjin bawa pulang ke rumah.

"Sampai di rumah saya baring atas katil dan kemudian isteri saya datang dari rumahnya untuk lihat keadaan saya," katanya.

Menurut Joey, isterinya duduk di atas katil dan apabila katil bergoyang, Joey berasa sakit.

PERKONGSIAN Joey dalam instagram miliknya.
PERKONGSIAN Joey dalam instagram miliknya.

"Ketika itu, saya cuba tenangkan diri dan anggap hanya masalah otot sahaja kerana rasa sengal-sengal di dada. Saya fikir dada saya bengkak.

"Ramai Ahli Jawatan Kuasa Seniman yang menghubungi saya untuk ajak ke hospital tetapi saya enggan kerana berharap sakit akan sembuh sendiri.

"Bagaimanapun, seorang AJK Seniman pernah mengalami situasi sama dan mencadangkan agar saya pergi klinik untuk buat pemeriksaan," katanya.

Selepas pemeriksaan di sebuah klinik, doktor memintanya menjalani pemeriksaan di Hospital Ampang.

"Di hospital, saya dihantar dari satu unit ke unit lain untuk pemeriksaan lengkap.

"Mereka akhirnya buat ujian X Ray dan mendapati saya patah empat tulang rusuk.

"Itu punca saya sakit apabila nak batuk dan bergerak. Saya menolak apabila mereka mahu masukkan saya ke wad,” katanya.

Joey lega apabila doktor memaklumkan dia boleh merawat sendiri penyakitnya di rumah menerusi tunjuk ajar yang diberikan.

"Tulang yang patah akan ambil masa untuk sembuh. Ia boleh pulih tetapi tidak sepenuhnya.

"Saya kena banyakkan latihan dan ambil ubat tahan sakit. Apapun saya bersyukur kerana paru-paru selamat dan tidak bocor.

"Doktor beritahu saya boleh menyanyi tetapi kena tahan sakit. Saya akur kena berehat dulu sampai sembuh demi kebaikan saya," katanya yang berterima kasih dengan bantuan yang diberikan oleh semua pihak terutama pengguna jalan raya lain dan Seniman.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2019 @ 1:10 PM