BINTANGI filem 10 Tips Tipu Bini milik produksi Datuk Awie.
BINTANGI filem 10 Tips Tipu Bini milik produksi Datuk Awie.
Ridzuan Abdul Rahman


DI sebalik karakter selamba dan humornya, siapa sangka penyanyi, pelawak dan pelakon, Joey Daud, 47, menderita sakit saraf di bahagian jari kedua-dua tangannya.

Joey yang membintangi filem 10 Tips Tipu Bini milik produksi Datuk Awie yang memerlukannya menunggang motor berkuasa besar berkata, dia mula mengalami sindrom yang dikenali sebagai 'Trigger Finger' ini sejak tiga bulan lalu.

"Di luar filem saya memang kaki 'ride'. Tapi, sekarang saya berhenti akibat masalah sakit ini yang mengakibatkan banyak aktiviti harian terganggu.

"Jari hantu kanan dan telunjuk kiri sering sengal-sengal serta kebas dan agak sukar untuk digerakkan mungkin kerana saya terlalu banyak melukis.

"Saya sebenarnya menyertai program melukis mural selama tiga bulan di Johor dan kekerapan pegang berus antara punca ia berlaku. Berus itu besar," katanya.

Menurutnya, dia perlu menghabiskan 21 subjek mural yang mengambil masa panjang untuk disiapkan.

"Mulanya 13 subjek yang ambil masa tiga bulan. Kemudian ditambah lagi sembilan bulan.

"Seluruh bandar Muar sekarang dihiasi dengan mural hasil kerja tangan saya.

"Ia adalah projek Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar. Selepas itu saya 'ride' dan dari situ mendapati ada yang tak kena dengan jari saya," katanya.

Suami pelakon, Watie Sadali yang bernama sebenar Zulkifli Daud ini berkata, doktor menyarankannya menjalani pembedahan untuk memulihkan semula dua jari ini.

"Katanya ada saraf saya yang terkepit dan perlu dibetulkan. Saya perlu buat pembedahan kecil, tapi kita tengok dulu keadaan.

"Bayangkan bila bangun pagi, saya kena kawal minda untuk buka genggaman gerakkan jari ini. Terasa sangat bisa dan kebas.

"Kalau saya genggam, nak buka tangan memang terasa sakit," katanya.

Joey mempunyai bakat yang versatil kerana selain menyanyi, berlawak dan berlakon, turut berkebolehan membuat props untuk filem antaranya filem Merah arahan Datuk M Nasir pada 1996.

Joey mengakui belum mengetahui kos sebenar pembedahan dan kini hanya melakukan fisioterapi sendiri.

"Selain itu, pemakanan juga perlu dijaga. Saya cuba berpantang kurangkan gula untuk tengok kesannya pada jari saya.

"Sekarang apabila pegang sesuatu benda, saya dapati tangan saya tak kuat. Tapi, saya masih melukis ikut keselesaan jari," katanya.

Joey bersama Khir Rahman dan Man Raja Lawak yang membentuk kumpulan J-Born kini terbabit dalam program Muzikal Lawak Superstar 2 yang disiarkan menerusi Astro Warna (127) dan Astro Warna HD (107) pada setiap Jumaat jam 9 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 January 2021 @ 6:22 AM