MONSTA X  jadikan pencapaian rakan senegara sebagai pembakar semangat
MONSTA X jadikan pencapaian rakan senegara sebagai pembakar semangat
Georgie Joseph


KUASA bintang K-Pop ketika ini semakin berleluasa di seluruh dunia.

Bakat dari Korea Selatan semakin diakui hebat dan diiktiraf di pasaran gergasi terutama di Amerika Syarikat (AS).

Terbaru, kumpulan MONSTA X yang dianggotai Shownu, Wonho, Minhyuk, Kihyun, Hyungwon, Joohoney, dan I.M disebut-sebut bakal meledak di persada dunia.

Karier mereka kian berkembang dan ketika ini mendapat sambutan luar biasa daripada pencinta muzik K-Pop global. Pengiktirafan demi pengiktirafan turut menghiasi profil seni mereka.

Mereka juga dijangka akan mengikut jejak BTS yang terlebih dulu menakluk dunia dengan fenomena luar biasa.

Walaupun berasa rendah diri dibandingkan dengan BTS, MONSTA X menjadikan pencapaian rakan senegara itu sebagai pembakar semangat.

“Kami sangat-sangat bersyukur. BTS memulakan fenomena itu dan kami berbesar hati apabila turut disebut ada persamaan dengan pencapaian mereka.

“Merekalah yang berjaya membuka laluan untuk menempuh jalan lebih mudah. Ia membuatkan kami lebih bersemangat untuk bekerja keras demi mencapai tahap seperti dilakukan mereka,” kata anggotanya Shownu.

Memulakan karier pada 2015, usaha mereka menempatkan diri dalam kelompok artis Korea Selatan berpengaruh sememangnya membuahkan hasil.

Bukan setakat tampil dengan karya yang kuat, malah bakat setiap anggotanya menjadi kekuatan sebenar.

Paling penting, dalam tempoh beberapa tahun ini, aura penghibur mereka semakin menonjol. Itulah yang sebenarnya membuatkan MONSTA X mula membuka mata ramai pihak bahawa mereka ada keunikan tersendiri.

Namun, mereka tidak mahu selesa dengan kedudukan sekarang dan berjanji terus memberikan lebih daripada yang diharapkan peminat.

“Selagi kami terus bekerja keras, kami pasti akan jumpa identiti yang jauh lebih unik untuk kami,” katanya.

Pernah hadir ke Malaysia menjayakan Festival Muzik K-WAVE 3 pada Ogos 2018, MONSTA X bakal kembali untuk kali kedua sempena konsert 2019 MONSTA X World Tour ‘We Are Here’ in Kuala Lumpur pada 22 Jun ini.

Kali ini, mereka bakal beraksi untuk konsert sendiri dan pastinya peminat mereka, MONBEBE sudah tidak sabar menyaksikan persembahan idola mereka terbabit.

Tiket dijual pada harga RM273 (Zon Hijau), RM373 (Zon Ungu), RM483 (Zon Kuning), RM573 (Zon Merah), RM593 (Zon MONBEBE) dan RM693 (Zon MONBEBE Pakej VIP) bermula hari ini menerusi laman web www.macpiepro.com.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2019 @ 8:53 AM