AleXa
AleXa
MONSTA X bersama Warner Music Korea dan Airbnb anjurkan Inside K-Pop.
MONSTA X bersama Warner Music Korea dan Airbnb anjurkan Inside K-Pop.
Georgie Joseph


DALAM tempoh penularan Covid-19 apabila penganjuran acara banyak disekat, kumpulan terkenal Korea Selatan, MONSTA X dengan kerjasama Warner Music Korea serta Airbnb tampil dengan inisiatif pesta dalam talian dinamakan Inside K-Pop.

Penganjuran acara itu bagi memberikan pengalaman berbeza buat pencinta K-Pop. Ia menawarkan pelbagai pengalaman muzikal global, perspektif dalaman mengenai makanan, fesyen dan budaya Korea Selatan selain penginapan dengan bertemakan muzik.

Bakal berlangsung pada 25 hingga 30 Januari ini, pesta itu boleh diikuti menerusi pilihan bahasa berbeza termasuk Inggeris, Korea, Cina dan Jepun.

Dengan bayaran RM81, pelanggan boleh membeli pas itu menerusi laman web www.airbnb.com/insidekpop.

Ketua Pegawai Eksekutif Warner Music Korea, Clayton Jin berkata, mereka sangat berbesar hati dengan kerjasama dijalin bersama Airbnb itu.

Pihaknya yakin program itu pasti akan membuahkan hasil lumayan.

"Kami teruja bekerjasama dengan Airbnb untuk Inside K-Pop, kempen yang akan mengangkat dunia muzik pop Korea Selatan di mata dunia. Hubungan erat dengan bintang popular Korea Selatan membolehkan kami merekrut mereka menjadi sebahagian daripada inisiatif yang hebat ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Penganjuran Global Airbnb, Catherine Powell berkata, pengalaman menerusi acara ini sangat berharga. Disebabkan itu, mereka mengehadkan tempoh masa tertentu untuk penganjurannya.

"Inside K-Pop ibarat pasport maya kepada keajaiban Seoul dengan perjalanan terhad selain akses kepada nama besar K-Pop. Kami amat teruja untuk menghubungkan mereka dengan komuniti ini dan melihat keseronokan dibawakan bakat luar biasa ini kepada khalayak global," katanya.

Paling menarik semestinya pengalaman untuk menyaksikan sendiri perjalanan aktiviti artis K-Pop kegemaran masing-masing. Daripada latihan tarian hingga latihan vokal, tutorial solekan hingga tip penggambaran, semua ditawarkan dalam acara terbabit.

AleXa
AleXa

Tidak ketinggalan, terdapat program yang sangat unik dan lebih santai bagi hiburan ramai. Antaranya ritual harian pelatih K-Pop pada waktu senggang termasuk membuat gelang manik sebagai cara untuk rehatkan minda dan berbual sambil 'mukbang'.

Matlamat utama Inside K-Pop tidak lain mengembalikan keterujaan pencinta K-Pop yang rindukan pengalaman di Seoul.

Disebabkan itu, menerusi 10 segmen yang dianjurkan, program itu menampilkan agenda berbeza.

Menerusi MONSTA X 'mukbang', penonton boleh melihat mereka menikmati makanan kegemaran dari kedai serbaneka Korea Selatan.

Bersama The Boyz pula, mereka akan belajar membuat kraf sambil bersantai di Hanok (rumah tradisi Korea).

Jamie pula akan menunjukkan rutin solekan hariannya dan tip untuk mencipta penampilan luar pentas yang sempurna.

Dapatkan gambar yang menakjubkan bersama Handong daripada Dreamcatcher apabila dia membawa mereka ke sebalik tabir sesi penggambaran K-Pop.

AleXa juga boleh ditonton untuk menari dan pelajari gerak tarinya yang terkenal. Penyanyi dan penulis lagu yang prolifik, Nive menjemput penonton ke konsert intim dan sesi borak santai apabila dia bercerita mengenai pengalaman menulis untuk beberapa bintang terbesar K- Pop.

Ketahui seni dan keajaiban menampilkan wajah terbaik sendiri dalam gambar bersama jurugambar serta bekas ahli kumpulan U-KISS, Kevin Woo. Cara membuat 'gungjung tteokbokki' akan dipaparkan bersama Cravity yang semakin popular.

Tidak ketinggalan, beberapa kru tarian K-Pop terkenal, BB Trippin dan Freemind ketika mereka mengetuai sesi koreografi. Mereka akan menunjukkan kepada pergerakan utama penghibur popular.

Demikian juga segmen seni penggayaan rambut untuk pentas dan cara mengekalkan gaya rambut bersama jurusolek terkemuka. Mereka termasuk ALUU dan Joy 187 yang akan mengajar tip dandanan rambut dan mekap terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 January 2021 @ 9:14 AM