Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Platform muzik terkemuka Asia, Joox memberi peluang kepada pengguna setianya untuk menyaksikan bintang K-Pop kesayangan mereka sempena penganjuran dua anugerah berprestij di Korea Selatan iaitu Melon Music Awards (MMA) 2021 dan Mnet Asian Music Awards (MAMA) 2021 di penstriman siaran langsung dan video atas permintaan (VOD).

Timbalan Presiden Senior Joox, Poshu Yeung berkata, tahun ini adalah kali keenam berturut-turut Joox melaksanakan usaha itu bagi memberi peluang semua peminat dunia hiburan K-Pop untuk menyaksikan acara gilang-gemilang itu.

"Dunia hiburan K-Pop mencatat sejarah tersendiri dan terus mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai salah satu genre muzik terbaik dunia tahun ini. Malah, kita dapat lihat semakin ramai artis K-Pop sudah mara peringkat global.

"Sehubungan itu, Joox sangat berbesar hati dan berbangga apabila berpeluang untuk membawakan penstriman secara langsung dan VOD dua anugerah muzik yang paling dinanti-nantikan ini kepada peminat K-Pop di seluruh Asia.

"Kami tahu bahawa pengguna Joox tidak akan pernah merasa puas dengan K-Pop, maka kami di sini sentiasa komited untuk memberikan muzik dan hiburan terbaik yang digemari oleh mereka," katanya.

Anugerah MAMA 2021 bakal ditayangkan di platform berkenaan secara percuma esok.

Acara muzik tahunan berprestij itu bermula daripada acara karpet merah sehinggalah ke majlis anugerah yang menampilkan calon-calon popular seperti BTS, IU, Lisa dan Rosé BLACKPINK, KAI EXO, BAEKHYUN, DO, Kang Daniel, AESPA, ITZY, ENHYPEN, TXT, DAY6, NCT 127, SEVENTEEN, TWICE dan ramai lagi.

Selain itu, MAMA 2021 juga mengukir sejarah tersendiri di mana peminat setia muzik K-Pop dapat menyaksikan penyatuan semula Wanna One, kumpulan K-pop ternama sedekad lalu yang akan membuat penampilan pertama sejak kali terakhir pada Januari 2019.

MAMA 202 juga akan menampilkan hos wanita pertama iaitu ikon K-Pop, Lee Hyori yang akan mewarnai majlis anugerah itu nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Disember 2021 @ 8:38 PM