CARTA negara untuk ciapan K-pop di Twitter.
CARTA negara untuk ciapan K-pop di Twitter.
Oleh Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Malaysia menduduki tempat ketujuh carta negara paling kerap ciap mengenai topik K-Pop di seluruh dunia menerusi rekod dikeluarkan Twitter dengan kerjasama K-Pop Radar, semalam.

Thailand mendahului di tempat pertama, diikuti Korea Selatan, Indonesia, Filipina, Amerika Syarikat, dan Brazil. Manakala, menyusul selepas Malaysia adalah Jepun, Mexico, Argentina.

Carta itu dikeluarkan untuk julung kalinya bersempena menyambut ulang tahun ke-10 komuniti K-Pop global berserta kejayaan #KPopTwitter di platform media sosial terbabit.

Data terbabit dikumpulkan daripada lebih 6.1 billion ciapan berkaitan K-Pop yang direkodkan Twitter sepanjang dari 1 Julai, 2019 hingga 30 Jun tahun ini.

Menerusi carta itu, kumpulan BTS berada di tempat pertama paling banyak diciap di Malaysia. Kemudian, diikuti EXO, BLACKPINK, TWICE, TXT, SEVENTEEN, GOT7, ATEEZ, Stray Kids, dan NU'EST.

Untuk meraikannya, Twitter turut menganjurkan acara virtual Decade of #KPopTwitter dengan menjemput artis Korea Selatan terkenal. Mereka termasuk Sunmi (bekas Wonder Girls), Kihyun dan Hyungwon (MONSTA X) dan Bang Chan (Stray Kids).

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 September 2020 @ 10:20 AM