MONSTA X teruja kembali ke Malaysia.
MONSTA X teruja kembali ke Malaysia.
Georgie Joseph


BERKUNJUNG kali kedua ke sini baru-baru ini, kumpulan MONSTA X dari Korea Selatan nampaknya tidak mensia-siakan kesempatan untuk meninggalkan impak dalam kalangan peminat tempatan.

Hadir menjayakan konsert MONSTA X World Tour 2019 We Are Here in Kuala Lumpur, kumpulan dianggotai Shownu, Wonho, Minhyuk, Kihyun, Hyungwon, Joohoney dan I.M itu ternyata ada pesona tersendiri.

Walaupun tanpa Wonho yang terpaksa menarik diri pada saat akhir tetap tidak menjejaskan konsert dihadiri lebih 5,000 penonton itu.

Malah, enam anggotanya berjaya hidupkan suasana walaupun dengan ketiadaan Wonho.

MONSTA X cukup luar biasa jika dinilai dari aspek aura penghibur baik secara individu atau kumpulan. Sejujurnya, mereka perlu diberi lebih perhatian daripada peminat seluruh dunia.

Sepanjang menonton konsert berkenaan, rata-rata penonton pasti tersenyum setiap masa dengan aksi ligat mereka.

Sukar untuk menggambarkan perasaan itu, namun tenaga bersahaja mereka memberikan senyuman kepada semua yang hadir.

Membuka persembahan dengan koreografi tarian, pergerakan ditunjukkan mereka begitu mengagumkan.

Setiap langkah yang mereka tunjukkan begitu tepat dan sempurna. Terus terang, bagi kumpulan seperti MONSTA X, mereka sudah tidak perlu tarian sebegitu untuk menguasai pentas.

Bagaimanapun, ternyata mereka masih memiliki pesona sebagai kumpulan yang mementingkan koreografi.

Apa yang pasti, setiap anggotanya turut memiliki kekuatan tersendiri jika dinilai secara individu. Baik dari segi komunikasi dengan penguasaan bahasa Inggeris yang baik, hinggalah kebolehan bermain alat muzik seperti dram.

Masing-masing tidak ketinggalan menunjukkan bakat dalam diri mereka pada malam itu. Tentu sekali, penonton berasa puas apabila dapat melihat sisi berbeza anggotanya secara langsung.

Lebih istimewa, konsep yang ditetapkan untuk konsert terbabit iaitu 'We Are Here' sememangnya patut mendapat pujian. Tidak dinafikan, produksi Korea Selatan sentiasa mendahului daripada sudut berkenaan.

Anggotanya juga tidak menafikan mereka sangat teruja dapat kembali ke Malaysia selepas berkunjung ke sini tahun lalu. Bagi mereka, Malaysia sentiasa ada tempat di hati MONSTA X sampai bila-bila.

“Kami sangat rindukan anda dan sangat teruja akhirnya dapat berjumpa anda semula. Kami masih ingat bagaimana sambutan luar biasa anda ketika kami berkunjung ke sini tahun lalu,” kata mereka.

Bagaimanapun, mereka turut meminta maaf apabila anggotanya Wonho tidak dapat bersama-sama kali ini.

"Sebenarnya Wonho sudah melakukan sedaya upaya untuk hadir bersama kami. Kami mohon maaf bagi pihaknya kerana tidak dapat turut serta disebabkan berlaku kesulitan.

“Bagaimanapun, kami sudah meminda setiap koreografi yang membabitkan dia dan mahu lakukan sebaik mungkin untuk anda,” kata mereka.

Pada konsert anjuran Macpiepro itu, beberapa sedutan video lakonan kumpulan berkenaan antara elemen paling menarik. Menerusi video berkenaan, mereka diberikan watak masing-masing.

MONSTA X mempersembahkan lagu popular mereka termasuk Shoot Out, Hero, Trespass, Party Time, Play It Cool, Mohae, Jealousy, Myself, 3hythm, Mirror, Honestly, I Do Love You, Sweetheart, No Reason, dan Myself.

Pada segmen menghampiri penutup, suasana konsert bertukar seperti parti muzik apabila anggotanya masing-masing menunjukkan taring dengan tarian lincah.

Tidak ketinggalan, lagu seperti Dramarama, Oh My!, Special, Fallin', Alligator, H.One, Rodeo, Be My Side, dan Curtain Call turut dipersembahkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2019 @ 6:30 AM