Georgie Joseph


PENYANYI Kaka Azraff mengakui dia tidak berniat merahsiakan pernikahannya dengan Adam Ariff daripada pengetahuan umum apabila bernikah secara mengejut pada 14 Disember lalu.

Kaka, 29, berkata majlis itu dibuat secara tertutup bagi menghormati privasi kedua-dua pihak keluarga yang mahukan ia dihadiri orang terdekat saja.

“Bukan nak berahsia tapi kami cuma mengikut permintaan kedua pihak keluarga yang tidak mahu majlis itu dihebohkan. Oleh itu, kami hormati keputusan mereka.

“Kami memang bercadang untuk terus membuat pengumuman itu kepada semua terutama pihak media sebaik majlis disempurnakan. Kiranya satu kejutan juga buat semua,” katanya yang ditemui pada majlis resepsi perkahwinannya, di Sungai Buloh, hari ini.

Menurut suaminya Adam yang juga ahli perniagaan, dia sendiri tidak mahu berita mengenai perkahwinan mereka menjadi heboh sebelum segala perancangan majlis sudah ditetapkan.

“Saya tidak mahu menghebohkan sesuatu yang belum sah berlaku. Takut nanti jadi fitnah dan memberi kesan kepada kerjaya Kaka sebagai artis,” katanya.

Dalam pada itu, pasangan berkenaan sangat bersyukur apabila semua majlis mereka berjalan dengan lancar meskipun ada rakan tidak dapat hadir.

“Tidak mengapa, doa mereka untuk kebahagiaan kami jauh lebih bermakna. Kami tidak terkilan pun disebabkan ada antara mereka sudah ada rancangan lain yang jatuh pada tarikh perkahwinan kami,” katanya.

Pasangan itu selamat diijabkabul, baru-baru ini, dalam majlis pernikahan yang berlangsung di kediaman sebelah keluarga Kaka.

Kaka yang berwalikan bapanya dinikahkan Jurunikah Rujuk dan Cerai Klang, Ustaz Azmi Selamat dengan mas kahwin RM300.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Disember 2018 @ 7:03 PM
Kaka Azraff (kanan) bersama Adam Azriff pada masjli resepsi perkahwinannya. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Dinü
Kaka Azraff (kanan) bersama Adam Azriff pada masjli resepsi perkahwinannya. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Dinü