KAKA Azraff.
KAKA Azraff.
Ramlah Zainal


PENYANYI dan pelakon, Kaka Azraff mengakui kehilangan arwah bapanya pada usia 10 tahun banyak membantunya menjiwai watak dalam filem sulungnya, Zharfa sekali gus mampu menyentuh hati penonton.

Menurut pemilik nama sebenar, Nor Atiqa Noor Azraff, 30, watak Zharfa juga mencabar kemampuannya kerana banyak bermain dengan emosi penonton.

“Paling mencabar, saya perlu menjiwai babak Zharfa menangis bila bertemu bapa kandungnya dalam filem ini.

“Selain itu, saya turut luka ketika menjayakan babak aksi dalam filem ini.

“Mujur pengarah banyak membantu saya menjiwai babak itu seperti dikehendaki skripnya dengan baik,” katanya.

Kaka ditemui pada majlis sidang akhbar filem Zharfa yang berlangsung di pusat khidmat penjagaan berpantang di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur, hari ini.

Selain Kaka, filem arahan pengarah Indonesia, Ruli Wanisar itu menampilkan pelakon dua negara berjiran iaitu Donny Alamsyah, Bentari Ayu, Shelomita, Qazem Noor dan ramai lagi.

Filem usahasama produksi Malaysia dan Indonesia itu bakal ditayangkan di pawagam tanah air bermula Khamis ini.

Mengulas mengenai filem Zharfa, kata Kaka, dia menaruh harapan filem itu menjadi platform buatnya menembusi pasaran Indonesia.

“Saya juga menimba pengalaman berbeza bekerja dengan produksi dari negara seberang itu.

“Pada masa sama, saya tidak sabar menanti reaksi penonton pada filem sulung ini.

“Walaupun masih dalam tempoh berpantang dan berbaki lagi 20 hari, saya tetap mahu menjayakan promosi untuk filem ini,” katanya.

Kaka mendirikan rumah tangga dengan Adam Azriff pada 14 Disember tahun lalu.

Hasil perkongsian hidup dengan Adam, Kaka dikurniakan anak lelaki Aslan Adam yang dilahirkan tanggal 11 Oktober lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 November 2019 @ 9:17 PM