Penyanyi, Kaka Azraff. Foto Sadiq Sani
Penyanyi, Kaka Azraff. Foto Sadiq Sani
Zaara Talita


Kuala Lumpur : Penyanyi Kaka Azraff mengakui terharu dengan sokongan dan kata-kata semangat daripada rakan artis, keluarga dan peminat rentetan situasi penamatan kontraknya selepas soladiriti dizahirkan pada Palestin.

Kaka atau nama sebenarnya Noor Atiqa Noor Azraff berkata, ibu saudaranya yang juga penyanyi, Ella turut menzahirkan sokongan sebelum memulakan sidang media khas menjelaskan isu berbangkit antara dirinya dan syarikat rakaman Warner Music Malaysia, malam tadi.

"Sebelum memulakan sidang media ini, Ella ada menghantar mesej secara pesanan suara kepada saya. Dia minta saya untuk 'stay strong', baca bismillah sebelum mulakan, dan dia katakan 'Uteh with you' maksudnya Ella bersama Kaka, jadi jangan takut dan jangan risau.

"Saya juga berterima kasih kepada mereka yang banyak memberi sokongan pada saya, saya menerima banyak Direct Message (DM) dan komen, semuanya memberi kata semangat pada saya.

"Saya sangat menghargai, dan bersyukur ada mereka yang melihat perkara ini dari sudut yang sama seperti saya," kata Kaka.

Kaka yang sebelum ini meminta ruang sebelum memberikan sebarang penjelasan akhirnya membuka mulut berhubung isu penamatan kontraknya di Warner Music Malaysia menerusi sidang media yang diaturkan khas di Flint, Mutiara Damansara, Petaling Jaya, malam tadi.

Kaka ditemani oleh suaminya, Adam Azriff serta peguam mewakilinya iaitu Aidil Khalid dan Abi Mursyidin Awal dari Tetuan Amelda Fuad Abi.

Pelantun lagu Sibuk itu turut memberikan jaminan kepada peminat bahawa kerjaya seninya tidak terkesan dengan penamatan kontraknya di Warner Music Malaysia, justeru menyifatkan apa yang berlaku sebagai sebuah perjuangan baginya dan tetap teguh dengan pendiriannya menyokong perjuangan Palestin.

"Setakat ini tiada 'show' saya yang dibatalkan. Alhamdulillah. Saya tengok perkara ini dari sudut yang positif sebab saya tahu saya berada di pihak yang benar. Saya nampak positif saja, sebab saya tahu apa yang saya buat ini untuk saudara-saudara kita yang berada di sana.

"Jadi kalau ia mendatangkan kesusahan sedikit pada saya pun, ini adalah jihad kecil dari saya. Tiada penyesalan. Ini jalan saya dan ini jalan yang saya pilih. Saya tidak berhenti di sini, ini adalah permulaan buat saya untuk saya melangkah dengan kaki sendiri.

"Saya akan terus menyebarkan perkara yang positif dan berharap kita yang bersama Palestin ini gunakan suara kita, suara kita kecil saja tapi mungkin dapat beri impak pada mereka sana," katanya.

Semalam, Kaka memohon penjelasan dari Warner Music Malaysia berhubung penamatan kontraknya.

Kaka berkata notis penamatan kontrak yang diterima dari Warner Music Malaysia tidak menyatakan sebarang alasan mengapa syarikat berkenaan menamatkan kontraknya pada 31 Disember depan, sedangkan ia masih berbaki beberapa tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2023 @ 3:39 PM