ELVINA bersama Haniff . FOTO arkib NSTP
ELVINA bersama Haniff . FOTO arkib NSTP
Rudy Imran Shamsudin


“SAYA bukan mahu meraih populariti dengan membuka aib rumah tangga sendiri tapi ini usaha saya untuk menyelamatkan perkahwinan kami," tegas Datin Elvina Mohamad berhubung tindakannya menaik status dan memadamkan gambar bersama suami juga ahli perniagaan, Datuk Haniff Borhan di laman sosial.

Jelas Elvina yang dihubungi di Kuala Lumpur, hari ini, menegaskan dia memuat naik status di laman sosial terbabit Rabu lalu dan menyelar seorang wanita juga agen insuran yang didakwa cuba mengoda suaminya.

Wanita terbabit dikatakan bermesej dengan suaminya menggunakan ayat juga emoticon mencurigakan sebelum dan selepas bertemu dengan Haniff dengan tujuan asal mahu menjual polisi insuran.

"Saya terpaksa memberikan peringatan kepada wanita di luar sana agar tidak mengganggu rumah tangga orang menerusi instagram milik saya.

"Wanita terbabit sudah tahu Haniff beristeri dan baru saja menimang cahaya mata. Dan saya masih dalam pantang, dia tidak patut bermesej sehingga menimbulkan syak wasangka," katanya.

Elvina juga berang apabila wanita itu membalas status menerusi media sosial miliknya dengan mengatakan pelakon yang popular menerusi drama Isteri Untuk Diiktiraf itu sedang meroyan berpantang.

"Jangan mudah melabel wanita sedang berpantang meroyan. Itu sangat negatif. Saya masih boleh berfikir secara waras. Mana yang betul dan mana yang salah," katanya.

Kata Elvina lagi, dia tidak menyalahkan satu pihak saja dan menyifatkan isu yang timbul dalam rumah tangganya itu ibarat kalau tiada angin tak mungkin pokok bergoyang.

"Saya turut menegur Haniff dan memadam gambar bersamanya dilaman sosial saya juga sebahagian daripada amaran saya kepadanya," katanya.

Jelas Elvina bagaimanapun masalah yang timbul membabitkan suaminya dan juga agen insuran terbabit sudah pun mereka suami isteri bincangkan dan jalan penyelesaian diperoleh.

Haniff sendiri menerusi laman sosial miliknya sudahpun memberi kenyataan dan mengaku apa yang berlaku adalah berpunca dari dirinya dan memohon maaf kelmarin.

Elvina turut menasihati wanita di luar sana agar tidak melakukan perkara yang dilakukan agen insuran terbabit.

"Sepatutnya sebagai penjual insuran dia harus profesional, menjaga tata susila dan tidak berkomunikasi dengan pelanggan atau bakal pelanggan sehingga boleh menimbulkan rasa kurang senang pihak lain.

"Anda sudah lihat apa seorang isteri sanggup lakukan demi menyelamatkan rumahtangganya kan. Jadi jangan ganggu rumah tangga orang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Disember 2018 @ 3:00 PM