AJAI berduet dengan Dia Fadila pada pentas akhir Gegar Vaganza 5, semalam. Foto SYARAFIQ ABD SAMAD Gambar kecil, Nurul
AJAI berduet dengan Dia Fadila pada pentas akhir Gegar Vaganza 5, semalam. Foto SYARAFIQ ABD SAMAD Gambar kecil, Nurul
Rudy Imran Shamsudin


PENYANYI Noorulhuda Abdul Wahab atau Nurul menjelaskan dia tiada masalah untuk tampil dan menyanyi bersama bekas suaminya juga komposer, Ajai.

Nurul yang pernah menghasilkan empat album duet bersama Ajai atau nama sebenarnya Mohd Faizal Maas sepanjang perkahwinan mereka berkata, suaminya Eric Daniel Depp juga tidak ada masalah untuk dia tampil bersama bekas suaminya itu.

“Sejak dulu lagi, suami memberikan kebenaran untuk saya tampil bersama Ajai atas dasar profesional memandangkan kami pernah menghasilkan album duet bersama.

“Saya okey saja untuk menyanyi atau melakukan persembahan istimewa bersama Ajai, andai semuanya baik-baik belaka,” katanya.

Nurul memberikan kenyataan demikian bagi menjawab pertanyaan salah seorang peminat di laman Instagramnya yang mengharapkan kembali bergabung dan menyanyi bersama.

Peminat terbabit berkata, dia rindukan persembahan antara Nurul dan Ajai apabila melihat komposer prolifik itu tampil berduet dengan Dia Fadila, di konsert akhir Gegar Vaganza musim kelima, semalam.

Sepanjang bersama, Nurul dan Ajai tampil dengan tiga album duet iaitu Sehati Sejiwa (2001), Ajai & Nurul (2002) dan Seiring & Sejalan (2004).

Mereka turut tampil dengan album kompilasi Serasi Bersama (2006).

Kata Nurul lagi, perkara yang baik semuanya datang dari Allah dan mudah-mudahan ada rezeki peminat untuk melihat dia dan Ajai kembali bergabung.

Nurul dan Ajai bernikah pada 1996 dan berpisah selepas 10 tahun hidup bersama. Hasil perkahwinan mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Ayu Nazirah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 November 2018 @ 6:20 PM