Noryn dalam proses aktif semula. FOTO HAFIZ SOHAIMI
Noryn dalam proses aktif semula. FOTO HAFIZ SOHAIMI
Rudy Imran Shamsudin


PENYANYI jazz, Noryn Aziz terkejut apabila ada pihak mendakwa dia sudah berpisah dengan suaminya yang juga seorang ahli perniagaan dan arkitek, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad.

Dakwaan hangat diperkatakan apabila penyanyi yang pernah tampil dengan tiga album solo itu mengambil keputusan untuk kembali aktif.

Sebelum ini, Noryn tampil mengadakan beberapa siri persembahan di restoran eksklusif seperti di No Black Tie dan Alexis Bistro.

Malah, Noryn turut menjayakan program Unplugged musim ketiga yang disiarkan Astro Ria, menampilkan Ismail Izzani dan Asfan Shah selaku penyanyi jemputan.

Dihubungi hari ini, penyanyi berusia 41 tahun itu menjelaskan dia dan Raja Kamarul Bahrin masih bersama.

“Kemungkinan ada berbuat dakwaan itu kerana mereka melihat saya kembali aktif. Tidak dinafikan ada artis sudah berpisah dengan suami membuat kemunculan semula menyebabkan mereka turut menganggap saya juga begitu.

“Saya kembali aktif menyanyi kerana ia minat saya sejak dulu. Apabila sudah lama tidak menyanyi saya rasa rindu,” katanya.

Penyanyi kali terakhir tampil dengan album I’am Alright itu turut mengharapkan agar peminat mendoakan yang terbaik sama ada dari sudut kerjaya mahupun kehidupan peribadi.

“Selain menyanyi, saya sedang menyiapkan album terbaru diterbitkan oleh Ajai. Ia masih dalam proses.

“Sebelum album dipasarkan sudah tentu perlu mempersiapkan diri dan salah satu caranya kembali tampil dengan mengadakan beberapa siri persembahan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Mac 2018 @ 7:19 PM