TOMOK (kiri), Akim, Black dan Hazama. FOTO Arkib NSTP
TOMOK (kiri), Akim, Black dan Hazama. FOTO Arkib NSTP
Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Penganjur Konsert 4G's Gabungan Melodi Terindah yang menggabungkan Black, Hazama, Tomok dan Akim bakal membuat pengumuman dalam masa terdekat berhubung penganjuran konsert yang dikatakan senyap walaupun penonton sudah membeli tiket sejak dua tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Belbis Sdn Bhd yang menganjurkan konsert berkenaan, Fendy Alias berkata, peminat yang sudah membeli tiket diharap dapat bersabar kerana konsert yang bakal berlangsung di Istana Budaya itu sedang diusahakan untuk berlangsung secepat mungkin.

"Konsert 4G's dalam perbincangan semula dengan artis dan lokasi Istana Budaya. Lokasi acara sesak sekarang ini kerana semua berlumba-lumba untuk anjurkan konsert.

"Peminat-peminat yang sudah beli tiket sebelum ini harap dapat bersabar. Insyallah penganjur akan buat pengumuman media dalam masa terdekat. Kepada peminat yang minta wang dikembalikan, kena berurusan dengan pihak RedTix. Ini kerana penganjur memang tak terima apa-apa bayaran sehingga konsert selesai diadakan. Ini termaktub dalam persetujuan antara penganjur dan ejen tiket," katanya.

Menurut Fendy, buat masa sekarang pihaknya tidak boleh komen lebih daripada itu.

Dia cuma menyarankan kepada peminat menyimpan tiket kerana ia tetap sah apabila konsert itu diadakan nanti.

"Lokasi memang susah sangat nak 'lock' terutama Istana Budaya serta beberapa lokasi acara yang popular sekarang. Pilihan pertama kami masih Istana Budaya sebab harga tiket dan sebagainya. Kalau dewan biasa nanti peminat marah pula bayar harga mahal tapi acara tak berbaloi," katanya.

Pada April 2020 lalu, impian peminat menonton empat penyanyi lelaki generasi masa kini iaitu Black, Hazama, Tomok dan Akim bergabung dalam konsert itu tidak kesampaian apabila ia terpaksa ditunda berikutan penularan kes Covid-19.

Idea untuk mengadakan konsert ini dicetuskan oleh Black yang sering terbabit dengan tiga rakan lain dalam program Mentor TV3.

Pelawaannya terhadap Tomok, Akim dan Hazama untuk bergabung disambut baik mereka yang berjanji menampilkan persembahan terbaik buat peminat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Ogos 2022 @ 4:25 PM