BLACK atau nama sebenarnya Hanifah Hanafiah.
BLACK atau nama sebenarnya Hanifah Hanafiah.
Sudirman Mohd Tahir


Selepas muncul dengan single Selamat Tinggal Masa duet bersama pengarah dan pelakon, Syamsul Yusof, Black bakal tampil dengan lagu baru berjudul Pok Pet.

Black, 31, atau nama sebenarnya Hanifah Hanafiah berkata, lagu ciptaan Hazama, Omar K dan Mike Chan itu begitu unik dan istimewa kerana muzik diketengahkan berbeza daripada lagu sebelumnya selain turut menyelitkan suara anaknya, Khaleef Dayyan yang kini berusia tiga tahun.

“Kebetulan ketika proses rakaman, anak berada di studio. Jadi, dia mendengar lagu itu dan dapat tangkap bahagian lirik Pok Pet. Apabila menyanyi berulang kali, dia pun ikut sama.

“Pada awalnya kami hanya rakam suka-suka yang ada suara Dayyan. Selepas mendengar semula, semua orang suka dan kami ambil keputusan untuk kekalkan versi yang ada suara Dayyan,” kata Black yang juga penulis lirik bersama lagu itu.

Berkongsi mengenai kecenderungan anak sulungnya itu, Black mengakui Dayyan memang meminati muzik dan mempunyai bakat dalam bermain dram.

Selain itu, Black juga menyifatkan Dayyan mudah tangkap melodi sesebuah lagu dan boleh menyanyikannya semula.

“Melihatkan minat yang ditunjukkan sekarang, kalau boleh saya nak dia menjadi pemuzik. Insya-Allah, mulai tahun depan saya mahu menghantarnya ke kelas piano pula.

“Saya perasan, sejak umur dua tahun lagi dia sudah boleh bermain dram. Ketika itu saya terbabit dalam program Mentor Milenia. Setiap kali membawanya datang ke sesi latihan, dia memang suka.

“Pada masa sama, dia ambil kesempatan untuk bermain dram. Jadi, saya pun membelikannya set dram mini bagi membolehkan dia bermain di rumah. Walaupun sekadar bermain, saya boleh nampak skil dimiliki,” katanya.

Pun begitu, sebagai bapa Black tetap mengutamakan pendidikan supaya anaknya tidak ketinggalan.

“Bukan saja saya dan isteri, tetapi semua ibu bapa pun mahukan anak mereka mempunyai pendidikan cemerlang dan kerjaya yang lebih baik. Macam kami pun, kalau boleh nak anak jadi doktor, juruterbang atau peguam.

“Cuma, setakat ini apa yang saya nampak menerusi kecenderungan dan minatnya adalah pada muzik. Jadi, tidak salah jika saya menyokongnya. Apabila sampai waktu bersekolah, baru dia fokus kepada pelajaran pula.

“Dari situ, baru boleh nilai kecenderungannya ke arah mana. Bagi saya, apa yang ditunjukkan anak sekarang perkara normal untuk semua kanak-kanak yang sedang membesar,” katanya.

Sindir wanita

Bercerita lanjut mengenai lagu Pok Pet, Black berkata, lirik yang dihasilkan adalah menyindir segelintir sikap wanita yang banyak cakap dan suka membebel.

Malah, Black mengakui isterinya, Naquia Yasirah atau Cira juga suka membebel terutama dalam soal kebersihan dan kekemasan rumah.

“Lirik lagu ini sedikit sebanyak berdasarkan pengalaman sendiri. Bukan mahu ditujukan kepada isteri semata-semata, tetapi buat semua wanita yang suka ‘pok pet pok pet’ atau membebel.

“Kalau mahu tahu, bukan saja Cira, tetapi isteri Hazama pun sama. Disebabkan itu kami menghasilkan lirik ini bersama-sama.

“Adalah menjadi kepantangan isteri saya jika melihat keadaan rumah bersepah. Saya pula sebaliknya ditambah anak yang lasak dan aktif. Jadi, tidak hairan kalau setiap hari isteri membebel,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Black bakal menjayakan konsert Tomok Vs Black - In The Spotlight di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Kuala Lumpur pada 28 November depan.

“Ini peluang yang tidak boleh dilepaskan. Apabila ditawarkan oleh pihak DFP, saya dan Tomok terus bersetuju. Kalau bukan sekarang, bila lagi kami nak membuat persembahan di situ.

“Melihatkan sejarah DFP sendiri, artis yang pernah membuat persembahan bukan calang-calang orang. Jadi, apabila kami terpilih ia satu penghormatan buat kami. Pada masa sama, ini bagus untuk profil kerjaya kami sebagai penyanyi.

“Sejujurnya, ini impian saya selama 10 tahun berada dalam industri muzik. Memang teruja nak beraksi di pentas berprestij itu. Insya-Allah, saya dan Tomok akan berikan persembahan terbaik,” katanya.

Black berkata, tiket menyaksikan persembahan sudah boleh dibeli menerusi mpo.com.my dengan harga RM100 dan RM80.

Selain itu, Black juga buat pertama kalinya dipilih mengacarakan program berbentuk ‘game show’ iaitu Sorok Sorok membabitkan pasangan selebriti tempatan.

Program yang menjalani penggambaran di seluruh Malaysia itu bakal ditayangkan di Astro Warna dan Warna HD bermula 6 September ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Ogos 2018 @ 11:54 AM