Kecik (dua dari kiri) vokalis baru Kristal ganti Lan Solo. FOTO Kristal
Kecik (dua dari kiri) vokalis baru Kristal ganti Lan Solo. FOTO Kristal
Ramlah Zainal


BEKAS anggota Hyper Act, Kecik berharap peminat Kristal beri peluang padanya untuk mengukuhkan legasi kumpulan itu.

Kecik menggantikan Lan yang meninggalkan kumpulan itu untuk bergerak solo tahun lalu.

Menurut Kecik atau Mohammad Fauzi Kamarudin, 24, dia juga percaya mereka memiliki keserasian untuk bekerjasama sebagai kumpulan.

“Sebenarnya, saya pernah buat persembahan dengan Kristal di pentas sebelum ini.

“Pada masa sama, saya mahu peminat menerima Kristal yang baru ini dan beri peluang untuk kami berkarya,”katanya.

Kecik ditemui pada majlis memperkenalkan vokalis baru dan single terbaru Cintaku Kristal berlangsung di G Tower, Kuala Lumpur, hari ini.

Sementara itu, ketua kumpulan Kristal, Rodi atau Muhamad Rodi Baharuddin berkata, pemilihan Kecik dibuat kerana dia memiliki vokal unik dan tersendiri.

“Secara rasminya, Kecik juga menjadi anggota kumpulan ini sejak tiga bulan lalu.

“Usia Kecik masih muda dan bertenaga ketika membuat persembahan di pentas,” katanya

Selain Rodi dan Kecik, kumpulan Kristal yang ditubuhkan sejak 1999 itu turut dianggotai Muhamad Ashraff Baharuddin (Acap) dan Muhammad Afifi Nor Mohammad (Kechiq Afifi).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Oktober 2018 @ 8:09 PM