SHERRY banyak belajar daripada Jihan. FOTO - Arkib NSTP
SHERRY banyak belajar daripada Jihan. FOTO - Arkib NSTP
Rudy Imran Shamsudin


PENGACARA popular Sherry Alhadad menegaskan orang ramai sepatutnya berbangga apabila dia dan seorang lagi pengacara popular wanita, Jihan Muse berjaya mencipta nama sebagai pengacara diminati dan tidak sepatutnya dibanding-bandingkan.

Sherry ketika dihubungi berkata, tindakan netizen membanding corak persembahan dan populariti mereka berdua adalah satu perkembangan tidak sihat.

Baru-baru ini, Sherry yang tampil sebagai pengacara program realiti Big Stage kerap dibandingkan dengan Jihan yang sebelum itu popular dengan Gegar Vaganza.

“Pada saya Jihan mempunyai gaya pengacaraan tersendiri dan ternyata kami berdua memberikan persembahan berbeza apabila tampil sebagai pengacara program.

“Bagaimanapun, misi kami apabila menjadi pengacara adalah sama iaitu untuk menghiburkan orang. Apabila ramai yang terhibur dengan corak persembahan kami bermakna misi kami berjaya,” katanya.

JIHAN antara pengacara wanita disegani. FOTO - Arkib NSTP
JIHAN antara pengacara wanita disegani. FOTO - Arkib NSTP

Sherry yang juga pelakon berkata, dia sering menggunakan kekurangan dirinya sebagai bahan untuk membuat lawak.

“Jadi, apa saja kaedah atau teknik persembahan yang diguna pakai, mencapai kehendak dan sasaran yang sama, ia dikira berjaya.

“Saya juga kagum dengan cara Jihan mengendalikan sesuatu program. Sebenarnya dia selalu menjadi tempat untuk saya merujuk atau berkongsi pendapat.

Menurut Sherry, bukan mudah untuk membuat orang ketawa dan untuk melakukan itu dia dan Jihan banyak belajar bersama.

“Seharusnya pencapaian yang kami peroleh sekarang dijadikan sebagai pembuka jalan kepada lebih ramai lagi pelawak wanita tampil sebagai pengacara selepas ini. Ini kerana tidak mudah untuk pelawak wanita menempatkan diri beraksi di atas pentas sebagai pengacara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 September 2018 @ 5:10 PM