Nurul (tengah) bersama keluarga selepas acara berlangsung. FOTO Ihsan Nurul Shamsul
Nurul (tengah) bersama keluarga selepas acara berlangsung. FOTO Ihsan Nurul Shamsul
Amirul Haswendy Ashari.


FINALIS Miss Universe New Zealand berketurunan Melayu, Nurul Zuriantie Shamsul, 21, diumumkan menduduki tempat ke-lima pada pentas akhir pertandingan itu, semalam.

Nurul yang turut menyambut ulang tahun kelahiran ke-21 menganggap pengalaman semalam adalah hadiah hari lahir paling bermakna buatnya.

"Saya nak ucapkan terima kasih kepada semua keluarga, rakan-rakan, peminat, rakyat Malaysia dan Indonesia kerana memberi sokongan selama pertandingan ini berlangsung.

"Pengalaman ini sangat bermakna buat saya dan percaya ia hanyalah permulaan daripada saya," katanya.

Gadis kelahiran Ampang berdarah keturunan Melayu Malaysia dan Indonesia itu juga percaya Allah SWT ada perancangan menarik untuknya di masa depan.

Nurul mencipta fenomena antarabangsa apabila diumumkan menjadi satu-satunya finalis Miss Universe New Zealand 2018 beragama Islam, berhijab dan berketurunan Asia, awal Julai lalu.

Pentas akhir pertandingan ratu cantik itu disiarkan secara langsung 8 malam di saluran televisyen negara itu, Bravo New Zealand dan boleh juga disaksikan melalui penstriman langsung Facebook Miss Universe New Zealand, semalam.

Miss Universe New Zealand dinobatkan kepada Estelle Curd, 27, pengurus sumber manusia berasal dari Auckland.

Pertandingan akhir Miss Universe 2018 akan berlangsung di Bongkok, penghujung tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Ogos 2018 @ 10:26 AM