VIDEO penjelasan (gambar kecil) salah faham berhubung salah guna wang pinjaman MARA dimuat naik pelakon Saharul Ridzwan dalam laman Instagram miliknya.
VIDEO penjelasan (gambar kecil) salah faham berhubung salah guna wang pinjaman MARA dimuat naik pelakon Saharul Ridzwan dalam laman Instagram miliknya.
Syafil Syazwan Jefri


PELAKON Saharul Ridzwan, 29, terpaksa memuat naik video penjelasan di Instagramnya, semalam selepas ada pihak salah faham berhubung dirinya menyalahgunakan wang pinjaman Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk membeli kenderaan ketika masih bergelar pelajar.

Saharul ketika dihubungi berkata, video itu dibuat kerana dia tidak mahu ada pihak memanipulasi kenyataannya, sekaligus menganggapnya sebagai contoh tidak baik buat generasi baru.

“Beberapa hari lalu, saya ada memuat naik gambar saya bersama dua kereta milik saya di Instagram.

“Di ruangan kapsyen, saya tulis mengenai kereta pertama iaitu Perodua Viva dibeli menggunakan wang pinjaman MARA ketika zaman belajar.

“Tak lama selepas itu, ada individu meninggalkan komen dan mengatakan bahawa saya seperti menyalahgunakan wang pinjaman yang sepatutnya digunakan untuk membiayai pelajaran saya pada waktu itu,” katanya kepada Harian Metro.

Saharul bagaimanapun tidak marah atau menyalahkan mana-mana pihak, sebaliknya menerangkan dengan jelas dalam beberapa potongan video yang dimuat naik semalam.

Dalam video itu, Saharul menjelaskan bahawa dia sendiri membeli kereta itu untuk memudahkannya selepas tamat pengajian.

“Saya beli kereta itu sebagai pemangkin semangat buat diri sendiri. Maksudnya, kalau saya beli kereta, saya ada komitmen dan untuk menukar wang pinjaman itu kepada biasiswa, saya perlu belajar dengan lebih tekun.

“Alhamdulillah, keputusan untuk pelajaran saya pun tidak corot dan saya dapat Anugerah Dekan, sekaligus berjaya menukar pinjaman itu menjadi biasiswa.

“Lagi satu, saya bukanlah gunakan kesemua wang pinjaman MARA itu untuk membayar deposit kereta pertama saya, sebaliknya hanya menggunakan sebahagian daripadanya,” katanya.

Dia juga meminta maaf sekiranya tindakan itu dianggap salah kerana niatnya hanyalah untuk berkongsi semangat buat mereka yang bermula dari bawah seperti dirinya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Julai 2018 @ 2:13 PM