BARISAN finalis bersama mentor masing-masing.
BARISAN finalis bersama mentor masing-masing.
ELVIRA (tengah) bawa pulang hadiah wang tunai RM100,000.
ELVIRA (tengah) bawa pulang hadiah wang tunai RM100,000.
Ardini Sophia Sina


Sempurna. Inilah perkataan paling sesuai bagi menggambarkan persembahan Elvira Arul pada pentas akhir konsert Mentor Otai di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, malam kelmarin yang menyaksikan dia diangkat sebagai juara.

Menerima hadiah utama wang tunai RM100,000, wanita berusia 38 tahun itu sama sekali tidak menyangka tuah berpihak kepadanya.

Tempat kedua dan ketiga menjadi milik Azee dan Alina. Masing-masing membawa pulang RM50,000 dan RM20,000 berserta trofi.

Sementara itu, AJ atau Kamarol Azril Al’azemi yang meraih tempat keempat dalam pertandingan itu menerima RM5,000 dan trofi.

Mempertaruhkan lagu Bukan Dia Tapi Aku dan lagu duet Nur Nilam Sari bersama Azlan Typewriter, Elvira cemerlang mempersembahkan kedua-dua lagu berkenaan.

“Saya sebenarnya tidak sangka bergelar juara pada pertandingan ini. Ketika sesi latihan, situasi tidak sama seperti apa yang saya persembahkan.

“Keadaan agak kucar-kacir dan saya cuma boleh berharap dapat memberikan yang terbaik dan membanggakan mentor iaitu Misha Omar.

“Bagaimanapun, tuah menyebelahi saya kerana berjaya menyanyikan lagu itu dengan baik pada malam konsert akhir,” katanya.

Elvira sebenarnya menjangkakan gelaran juara bakal menjadi milik Azee. Dia menyifatkan wanita itu seorang yang ikhlas tidak hanya sebagai rakan tetapi juga ketika menyampaikan lagu.

Melihat pada saingan malam itu juga, Elvira tidak meletakkan sebarang harapan tinggi untuk menduduki tempat pertama apatah lagi peserta lain turut memberikan saingan sengit.

“Saya jangka Azee yang akan menang kerana setiap minggu persembahannya sangat konsisten. Dia seorang yang ikhlas dalam setiap perkara dilakukannya begitu juga dalam nyanyian.

“Berada pada pertandingan akhir saja pun sudah cukup menggembirakan hati saya. Tambahan pula peserta lain juga memberikan saingan hebat. Perkara itu membuatkan saya tidak menyimpan harapan untuk menang,” katanya.

Bercerita mengenai cabaran menyanyikan lagu pada malam penentuan itu, Elvira berkata, dia harus mencari cara untuk mempersembahkan dua lagu itu dengan jujur.

Katanya, dia juga tidak pernah mendengar lagu Nur Nilam Sari nyanyian asal Awie dan Search itu.

Itulah yang membuatkan Elvira bekerja keras tidak hanya pada susunan muzik tetapi juga maksud lagu yang cuba disampaikan.

Misha guna kuasa veto

Mentor Elvira, Misha Omar menggunakan kuasa veto untuk menentukan lagu yang akan dibawakan anak didiknya itu di pentas akhir.

Misha berkata, pada awal pertandingan dia masih tercari-cari identiti suara Elvira. Pada minggu ketiga, dia berasa di kedudukan dua terbawah.

“Kemudian, dua minggu berturut-turut termasuklah konsert akhir saya gunakan kuasa veto untuk berikan dia lagu untuk dinyanyikan.

“Elvira akan bekerja lebih keras apabila diberikan lagu yang dia tidak tahu. Dan, lagu itulah yang akan ‘menjadi’,” katanya.

Sama seperti pelajar sekolah yang baru habis belajar, Misha menyerahkan sepenuhnya kepada Elvira untuk menentukan hala tuju dalam dunia muzik.

“Saya bangga mengakhiri status sebagai mentor apabila melihat persembahan bertenaga Elvira. Saya ada perancangan untuk dia tetapi buat masa ini biarlah dia sendiri tentukan hala tujunya,” katanya.

Selain Misha, mentor lain yang membimbing protege mereka ialah Tam Spider, Siti Sarah dan Zarul Umbrella.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mei 2018 @ 2:57 AM