AYIE menjadi mangsa pertama.
AYIE menjadi mangsa pertama.
Georgie Joseph

Memasuki pertarungan musim kedua kelmarin, masih banyak perlu diperbaiki peserta Mentor Otai jika dinilai secara keseluruhan daripada persembahan mereka.

Menjadi peserta pertama tersingkir, protege Sarah Raisuddin iaitu Ayie yang menyanyikan lagu Puncak Kasih (Ziana Zain) jelas bertarung dengan rasa gugup.

Dia dilihat hilang fokus sekali gus meranapkan impian memberi persembahan berkesan.

Turut berada di kedudukan dua terbawah, protege Misha Omar iaitu Elvira pula salah percaturan memilih lagu berentak keroncong.

Mendendangkan Selamat Tinggal Bungaku (Datuk Ahmad Jais), nyanyiannya kedengaran kasar dan kurang lenggok.

Begitu juga peserta lain seperti Azran. Walaupun berpengalaman dalam nyanyian tetapi gagal mempamerkan identiti sendiri.

Walaupun berjaya mengagumkan juri tetap Edry Abdul Halim, tetapi tetap menyifatkan Azran terlalu meniru Goo Goo Dools yang juga penyanyi asal lagu Iris.

Alina yang menjadi antara peserta kegemaran juga tidak berjaya memberikan persembahan bertenaga.

Menyanyikan lagu Akhirnya Kini Pasti (Anita Sarawak), nyanyiannya seakan tidak cukup bertenaga.

Dua protege Tam Spider iaitu Irwan yang menyanyikan Seribu Kali Sayang (Iklim) dan AJ dengan lagu Mengapa Perpisahan Yang Kau Pinta (Flybaits) menunjukkan persembahan sederhana.

Memiliki kekuatan daripada segi vokal, bagaimanapun ia masih kurang di beberapa bahagian.

Protege Zarul Umbrella iaitu Lokman yang menyanyikan lagu Yang Sedang Sedang Saja (Iwan) boleh dikatakan menyakinkan.

TAM mengambil serius komen juri.
TAM mengambil serius komen juri.

Berjaya menghangatkan suasana dengan lagu irama dangdut, bagaimanapun menurut Edry masih banyak perlu diperbaikinya.

Satu-satunya peserta yang cukup menyakinkan dan cemerlang ialah Azee menerusi lagu Kemaafan Dendam Yang Terindah (Aishah).

Tona suaranya yang cukup unik sudah meletakkan dia sebagai antara pesaing kuat.

Dua juri tetap Edry dan Mark Adam bersetuju penyampaian Azee malam itu sangat berjaya. Bahkan, menurut Mark kemampuannya boleh menempatkan dia di pentas antarabangsa.

“Kalau dengan nyanyian sebegini, kamu boleh bertanding di peringkat antarabangsa,” katanya.

Tidak mengejutkan, Azee sekali gus dinobatkan Persembahan Terbaik pada minggu berkenaan.

Sementara itu, Tam selalu Mentor berkata, dia sentiasa ternanti apa komen daripada juri tetap yang sangat penting untuk diambil kira.

Katanya, tiada apa perlu dipertikai memandangkan juri yang dipilih pasti arif dan tahu menilai segala elemen dalam setiap persembahan peserta.

AZEE dinobatkan persembahan terbaik dan dipuji juri tetap.
AZEE dinobatkan persembahan terbaik dan dipuji juri tetap.

“Juri akan melihat apa yang diberikan peserta di pentas pada hari sebenar. Mereka tidak akan mengambil kira latar belakang atau persembahan mereka yang lepas-lepas.

“Jadi, saya setuju dengan apa juga mereka kemukakan berdasarkan pengamatan terhadap persembahan itu. Mungkin ada yang kami sendiri tidak perasaan tapi di situlah komen mereka memainkan peranan,” katanya.

Mentor Otai bersiaran setiap Ahad, jam 9 malam di TV3 dan dihoskan penyanyi Elly Mazlein dan Haziq HOT FM. Juara Mentor Otai bakal membawa pulang wang tunai RM100,000.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 April 2018 @ 12:40 PM