DARI kiri Elvira, Lokman, Azee, AJ, Irwan dan Alina ke pusingan seterusnya.
DARI kiri Elvira, Lokman, Azee, AJ, Irwan dan Alina ke pusingan seterusnya.
Ridzuan Abdul Rahman


Minggu ketiga Mentor Otai yang berlangsung Ahad lalu memperlihatkan banyak peningkatan daripada protege yang bertanding.

Sudah tidak banyak komen negatif dilontarkan dua juri iaitu Edry Abdul Halim dan Mark Adam terhadap mereka kecuali aspek penghayatan dan pemahaman lagu yang perlu diperbaiki oleh peserta.

Untuk minggu ketiga ini, AJ menyanyikan lagu Jampi nyanyian asal Hael Husaini, Elvira (Gemilang - Jaclyn Victor), Lokman (Mimpi Laila - Yasin), Alina (Jerat Percintaan - Siti Nurhaliza), Azran (Potret - Akim & The Majistret), Azee (Menaruh Harapan - Zaiton Sameon) dan Irwan (Pada Syurga Diwajahmu - Nash).

AJ, Elvira, Azee dan Irwan memperlihatkan prestasi membanggakan sekali gus menerima pujian juri. Namun, agak malang buat Lokman apabila dikatakan gagal menghayati lagu dengan baik.

Begitu juga Alina yang menyampaikan lagu nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza dengan cara tidak meyakinkan, manakala Azran pula sekali lagi memperlihatkan prestasi mengecewakan selepas minggu pertama.

Lokman yang juga anak didik Zarul Husin dan Azran, anak didik Misha Omar menduduki dua tangga terbawah. Jalan keluar akhirnya ditunjukkan buat Azran daripada meneruskan persaingan untuk minggu seterusnya.

Minggu ketiga ini memperlihatkan situasi suka duka buat Misha Omar. Suka kerana Elvira yang pada minggu sebelumnya berada di kedudukan terbawah, menunjukkan prestasi memberangsangkan sehingga terpilih sebagai juara mingguan.

Duka pula sudah tentulah kerana penyingkiran Azran sekali gus menyusuli jejak Sarah Raisuddin yang turut kehilangan Ayie pada minggu sebelumnya.

“Tiada siapa yang boleh tolak takdir. Kalau dah tersurat perjalanan Azran di sini saja, saya kenalah terima. Saya bangga dengan persembahan Azran, cuma nasib tak menyebelahinya.

“Sebenarnya kehilangan Azran ibarat satu kecacatan kekal buat saya kerana sebelum ini berjalan dengan dua kaki dan sekarang seperti berjalan dengan sebelah kaki.

“Tapi hidup perlu diteruskan walau apa pun berlaku. Semangat Azran saya akan terus bawa untuk Elvira. Kemenangan dia ibarat pengubat sedih selepas kehilangan Azran,” katanya.

Azran pula terbuka menerima penyingkirannya dan menganggap itu sebagai adat pertandingan.

“Saya dah lakukan yang terbaik. Cuma ketika persembahan saya berdepan sedikit masalah teknikal. Namun, saya tak boleh salahkan keadaan itu kerana persembahan perlu diteruskan.

“Dari segi persembahan, Edry memang puji. Cuma tempo saya agak cepat kerana masalah yang berlaku. Bagaimanapun, keseluruhannya saya berpuas hati dengan persembahan dan reda keputusan juri.

“Saya sebenarnya tak terfikir akan tersingkir awal tapi ini perkara biasa dalam pertandingan. Saya sudah ada platform sendiri sebagai penyanyi latar dan vokal editor di studio. Jika ada peluang menghasilkan single, saya takkan menolak,” katanya.

Bagi Elvira pula, dia membuat persembahan bersungguh-sungguh ibarat kali terakhir berada di pentas Mentor Otai.

“Misha kata ini ibarat kali terakhir saya beraksi untuk membanggakan dia dan diri saya sendiri. Jadi saya buat sehabis baik dan ternyata disukai barisan juri dan peminat.

“Saya bukanlah yakin sangat apabila di pentas kerana mempunyai perasaan gemuruh yang tinggi, tapi lega kerana sudah buat yang terbaik.

“Saya anggap semua peserta hebat dan perlu buktikan kemampuan setiap minggu,” katanya.

Mentor Otai bersiaran setiap Ahad, jam 9 malam di TV3 dan dihoskan Elly Mazlein dan Haziq HOT FM. Juara Mentor Otai bakal membawa pulang wang tunai RM100,000.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 April 2018 @ 10:26 AM