ELVIRA (kanan) bersama mentornya, Misha Omar selepas muncul juara di konsert akhir Mentor Otai di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, malam tadi. FOTO Ezairi Shamsudin
ELVIRA (kanan) bersama mentornya, Misha Omar selepas muncul juara di konsert akhir Mentor Otai di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, malam tadi. FOTO Ezairi Shamsudin
Ardini Sophia Sina


SELEPAS lima minggu berentap, protege Elvira, 38, dinobatkan sebagai juara program realiti Mentor Otai yang berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, malam tadi.

Kemenangan itu sekali gus melayakkan Elvira atau nama sebenarnya Elvira Carrie Olga Arul memenangi hadiah utama berupa wang tunai RM100,000 dan trofi.

Tempat kedua dimenangi Azee yang membawa pulang wang tunai RM50,000 bersama trofi, manakala tempat ketiga diperoleh Alina sekali gus mengondol wang tunai RM20,000 serta trofi.

Sementara itu, AJ atau Kamarol Azril Al'azemi mendapat tempat keempat dan menerima RM5,000 dan trofi.

Pada persembahan akhir, peserta mempertaruhkan lagu seperti Terasing, Rindu Bertandang Lagi, Gubahan Lagu Puisi Syahdu dan Bukan Dia Tapi Aku.

Sementara itu, untuk persembahan kedua melalui pusingan duet bersama artis jemputan, mereka mempersembahkan lagu Fatwa Pujangga, Mendung Tak Bererti Hujan, Dua Insan Bercinta dan Nur Nilam Sari.

Semua protege diadili dengan format pemarkahan 50 peratus daripada juri tetap, 20 peratus (juri awam) dan 30 peratus adalah undian secara online.

Mentor Otai diacarakan oleh Haziq Hussni dan Elly Mazlein, manakala juri tetap terdiri daripada Edry Abdul Halim serta Mark Adam.

Pentas konsert akhir ini dimeriahkan dengan persembahan bertenaga daripada Kugiran Masdo yang menyampaikan lagu Bercanda dan Mas Mona serta penampilan Saleem dengan lagu Suci Dalam Debu.

Antara peserta lain yang menyertai Mentor Otai ialah Irwan Ahmad, Sairi Sari Osman, Abd Lokman Azmi dan Wan Mohd Azran Wan Hamzah.

Mereka mendapat bimbingan dari barisan mentor iaitu Siti Sarah, Zarul, Misha Omar dan Tam Spider.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 April 2018 @ 12:59 AM