PUTU Ceri atau Ahmad Azanol Khushairie. FOTO Sudirman Mohd Tahir
PUTU Ceri atau Ahmad Azanol Khushairie. FOTO Sudirman Mohd Tahir
Sudirman Mohd Tahir


PEMAIN bass kumpulan Kugiran Masdo, Putu Ceri atau Ahmad Azanol Khushairie tidak malu mengakui dirinya tempang selepas mengalami kemalangan motosikal ketika berusia 16 tahun.

Ahmad Azanol, 31, berkata disebabkan kemalangan itu kaki kanannya patah dan perlu menjalani pembedahan memasukkan besi pada bahagian lutut dan paha.

“Saya mengalami kemalangan teruk hingga motor hancur. Kalau nampak keadaan motor, orang kata saya sudah meninggal dunia. Alhamdulillah, Allah masih panjangkan nyawa saya. Cuma, kaki kanan patah.

“Sejak itu, saya tidak seperti orang normal lain. Jalan pun tempang. Namun, ia tidak menghalang saya untuk meneruskan aktiviti harian. Malah sekarang terbabit dalam bidang muzik pula.

“Memasukkan besi adalah pilihan terakhir ketika itu. Jika tidak, saya takkan boleh berjalan. Saya tidak malu dengan keadaan sekarang. Lagi pula, ramai tidak perasan saya tempang,” katanya kepada Harian Metro.

Dalam masa sama, Ahmad Azanol mengakui dia perlu kuat untuk meneruskan kehidupan dan tidak mahu masalah dihadapi mengganggu rutin harian.

“Selepas pembedahan, saya tidak ke sekolah setahun dan perlu menjalani fisioterapi hampir dua tahun. Syukur saya dapat habiskan persekolahan sehingga tingkatan lima.

“Saya sentiasa berfikiran positif. Walaupun sukar berjalan, saya kena kuat. Dalam keadaan sekarang, saya sudah tidak boleh berlari dan mengangkat benda berat. Pendek kata masih ada perkara terbatas” katanya yang kemalangan di Ipoh, Perak.

Disebabkan kemalangan itu juga, Ahmad Azanol fobia menunggang motosikal selama beberapa tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 April 2018 @ 10:15 PM