HAZAMIN bersama pelajar Malaysia.
HAZAMIN bersama pelajar Malaysia.
BERSAMA pelajar dari UK.
BERSAMA pelajar dari UK.
DI bandar lama Fes2.
DI bandar lama Fes2.
Nor Akmar Samudin


Sudah lama Hazamin dari kumpulan nasyid Inteam mahu belajar bahasa Arab namun kerana sibuk dengan aktiviti kumpulan itu, hasratnya itu hanya terlaksana hujung tahun lalu dengan mengambil kursus jangka pendek selama satu setengah bulan di Fes, Maghribi.

Menurut Hazamin, dia perlu belajar bahasa Arab kerana peranannya sebagai mutawif bagi pakej umrah anjuran agensi kembara tempatan yang memerlukannya berkomunikasi dalam bahasa itu bagi memudahkan urusan umrah.

“Bahasa Arab adalah bahasa al-Quran dan bahasa ilmu khususnya berkaitan Islam. Orang Malaysia bertuah dan lebih mudah untuk mendalami bahasa Arab kerana banyak perkataan bahasa Melayu dipinjamkan daripada perkataan Arab,” katanya.

Hazamin memilih belajar di Fes kerana belum pernah ke sana selain kos sara hidup yang murah dan negaranya yang stabil. Hazamin ke sana bersama keluarganya.

“Fes juga dikenali sebagai kota ilmu dan kota wali kerana di situ lahirnya ramai ulama hebat yang bergelar wali dan makam mereka juga ada di sana.

“Di kota Fes juga terdapat universiti yang dikatakan tertua di dunia iaitu berusia lebih 1,000 tahun, diasaskan pada 859 Masihi iaitu Universiti Al-Qarawiyyin. Universiti ini terletak di dalam bandar lama Fes berusia ribuan tahun yang tercatat di dalam senarai ‘UNESCO World Heritage’,” katanya.

Katanya, dalam kelas bahasa Arab itu ada pelajar dari Britain, Amerika Syarikat, Belgium, Australia, China dan Jepun.

“Saya kagum dengan semangat mereka yang ingin mendalami bahasa Arab walaupun sebahagian mereka bukan beragama Islam dan perlu belajar daripada alif, ba dan ta.

“Sedikit sebanyak saya rasa malu dengan mereka dan ini menambahkan lagi semangat untuk terus mendalami bahasa yang indah ini,” katanya.

Alang-alang sudah berada di bumi bertuah itu, Hazamin atau nama sebenarnya Muhammad Hazamin Harun turut belajar mengenali budaya masyarakat setempat dan menziarahi lokasi menarik di sana.

“Maghribi yang terletak di benua Afrika ialah negara unik, subur dan indah. Ada laut, hutan, air terjun, padang pasir, kawasan tandus dan gersang bahkan juga gunung bersalji,” katanya.

Dia sempat melawat Rabat, Marrakech, Casablanca, Irfane, Meknes, Chefchouen dan gurun di Merzouga.

“Pengalaman paling manis apabila dapat naik unta lebih sejam di Gurun Sahara dan bermalam dalam khemah di padang pasir. Pelancong yang datang ke Maghribi mesti mencubanya.

“Beberapa hari selepas saya pulang ke Fes dari Gurun Sahara, salji pula turun di kawasan Irfane,” katanya.

Meskipun Hazamin sudah kembali ke tanah air bagi meneruskan perjuangannya dengan Inteam, dia akan terus belajar bahasa Arab menerusi Internet dan media sosial.

Inteam kini rancak mempromosikan album Zikir Hati dalam bentuk pemacu kilat USB (USB Flash disc) yang diterbitkan hujung tahun lalu dan mereka juga sedang menyiapkan 10 video rakaman nyanyian ‘live’ untuk lagu malar segar Inteam sejak 2000 seperti Impian Kasih, Setanggi Syurga, Siti Khadijah dan beberapa lagu pop berunsur ketuhanan yang pernah dipopularkan artis lain.

“Studio baru sudah siap dan dilengkapi ruang untuk rakaman video. Kami akan manfaatkan kemudahan ini dengan menghasilkan rakaman video ‘live’ untuk menghargai peminat kami sejak 2000,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 January 2018 @ 1:05 PM