BERSYUKUR lagu Selimut Kasih diterima baik peminat.
BERSYUKUR lagu Selimut Kasih diterima baik peminat.
Ridzuan Abdul Rahman


Kegagalan meraih kejayaan dalam kategori Lagu Nasyid Terbaik menerusi Anugerah Industri Muzik ke-23 (AIM23) baru-baru ini langsung tidak melemahkan semangat kumpulan Inteam.

Sebaliknya, kumpulan yang dianggotai Mohd Syahril Abdul Khalid, Muhammad Hazamin Harun, Hisyam Ahmad dan Abdul Rahim Osman tetap berbangga dengan pencapaian yang diraih.

"Kami amat bersyukur dengan apa yang diperoleh. Berada di barisan lima terbaik sudah membuatkan Inteam bersyukur. Sememangnya lagu yang terpilih ke peringkat akhir AIM semuanya bagus dan berkualiti.

"Kami bersyukur kerana lagu Inteam iaitu Selimut Kasih yang bertemakan Misi Kemanusiaan di Syria turut berjaya bersaing ke peringkat akhir," kata Syah selaku ketua kumpulan.

Lagu Selimut Kasih ciptaan Syah dan lirik tulisan Fedtri Yahya dilancarkan pada 18 Februari lalu. Muzik videonya yang dirakamkan di kawasan kem pelarian Syria di I'zaz Syria dan di Arsal, Lubnan dilancarkan pada 9 September lalu di saluran YouTube Inteam Digital.

"Pengalaman menyertai misi kemanusiaan bersama Peduli Insan di kem pelarian Syria awal tahun ini serta merakamkan muzik video Selimut Kasih di sana menambahkan lagi penghayatan kami terhadap lagu ini kerana kami dapat melihat sendiri kesusahan dan penderitaan dihadapi saudara kita di sana.

"Kami berterima kasih kepada Pertubuhan Peduli Insan Malaysia kerana memberi peluang kepada kami melihat dan merasai sendiri suasana perkhemahan pelarian di musim sejuk di Syria dan menjayakan rakaman lagu Selimut Kasih dan muzik videonya bagi meningkatkan kesedaran kepada masyarakat untuk membantu pelarian di sana," kata Hazamin pula.

Mengulas isu genre nasyid untuk penasyid saja yang mencetuskan perdebatan baru-baru ini, pemenang AIM kategori Lagu Nasyid Terbaik 2010 dengan lagu Dia Muhammad itu berpendapat, kategori nasyid secara asasnya terbuka kepada sesiapa saja yang ingin menyertainya.

"Ia tidak eksklusif kepada penyanyi nasyid saja asalkan lagu dan liriknya sesuai serta penyanyi yang membawanya turut menjaga imej dan perwatakan yang selari dengan ajaran Islam.

"Bagi kami, tiada masalah sekiranya penyanyi yang bukan dalam kalangan penyanyi nasyid ingin menghasilkan lagu nasyid dan menyertai AIM dalam kategori nasyid.

"Asal saja lagu dan liriknya bersesuaian dengan akhlak serta imej yang dibawakan penyanyinya sesuai dengan apa yang disampaikan.

"Ia satu kebanggaan bagi kami apabila penyanyi aliran bukan nasyid turut berminat menghasilkan lagu nasyid," kata Rahim pula.

Menurutnya, dalam masa sama, ia juga cabaran bagi mereka untuk menghasilkan karya yang lebih berkualiti dan bermutu supaya dapat bersaing dengan baik.

Inteam gembira peminat memberikan sambutan yang menggalakkan terhadap lagu Selimut Kasih dan muzik videonya yang kini berada di seluruh platform digital termasuk saluran YouTube Inteam Digital.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 September 2022 @ 6:45 AM