BADAN akan dibalut dengan tuala panas selepas mandi pasir untuk elak kejutan suhu.
BADAN akan dibalut dengan tuala panas selepas mandi pasir untuk elak kejutan suhu.
PELANCONG yang jalani terapi mandi pasir diberikan air untuk elak dehidrasi.
PELANCONG yang jalani terapi mandi pasir diberikan air untuk elak dehidrasi.
PETUGAS mula menimbus pasir pada badan
PETUGAS mula menimbus pasir pada badan
Susunan Norlaila Hamima Jamaluddin

Segalanya dilakukan atas nama kesihatan. Untuk mendapat dan mengekalkan aset yang tidak ternilai ini, orang sanggup lakukan apa saja termasuk ditanam dalam pasir. Jika biasanya kita mendengar orang ditimbus'dengan pasir pantai, kini penduduk Maghribi memperkenalkan amalan penjagaan kesihatan kuno iaitu ditanam di gurun!

Setiap pagi sebaik matahari terbit, kelihatan ramai lelaki dan wanita menggali lubang di kawasan gumuk pasir Chebby di Gurun Sahara untuk pelancong yang mahu membelai diri dengan kehangatan pasir gurun.

Berabad lalu, kaum nomad tiba di Merzouga, sebuah kampung kecil ditenggara Maghribi dan akhirnya menetap di sana. Kehidupan mereka sangat sederhana di kampung yang berlatarbelakangkan gurun.

Jejeran bukit pasir di Merzouga kini menjadi sumber rezeki tambahan bagi kaum Berber Ait khususnya dari segi pelancongan.

Sudah bertahun-tahun lamanya kaum nomad di Merzouga menjalankan per­niagaan perhotelan dan makanan yang menjadi hentian terakhir bagi destinasi pelancongan di Maghribi kerana ramai beranggapan gurun yang melaut luasnya itu tiada tarikan.

Namun kini penduduk Merzouga memanfaatkan sumber alam di sekeliling mereka-pasir gurun-untuk menarik kedatangan pelancong.

Untuk menjalani terapi tradisional ini tidak susah, hanya perlu ditanam sehingga ke leher dan menikmati bahang pasir gurun. Ia dikatakan mampu membantu merawat pelbagai masalah kesihatan khususnya sakit otot dan sendi, lumbago (sakit belakang atau pinggang) dan beberapa jenis penyakit kulit.

Terapi pasir gurun ini memberi kesan yang sama seperti sesi sauna apabila ia membantu mengeluarkan bahan toksin daripada badan, kata Abdessalam Sadoq-seorang daripada keturunan nomad yang kini bekerja dalam bidang pelancongan kesihatan.

"Di sini kami menawarkan semua jenis pelancongan, tetapi lebih mengkhusus kepada kesihatan," katanya.

Untuk mencari rezeki bukanlah perkara mudah bagi keturunan nomad seperti kaum Ait Atta. Dalam tempoh beberapa dekad ini, anak golongan nomad yang berpindah-randah dan hidup di atas unta itu mula beralih arah mencari kehidupan baru.

Dulu kaum Ait Atta mengumpul kekayaan hasil aktiviti perdagangan merentas Gurun Sahara, tetapi apa yang tinggal kini hanyalah tanda jalan menunjukkan arah ke Timbuktu (di Mali), terletak kira-kira 52 hari perjalanan menunggang unta.

Gurun Sahara ini sangat luas meliputi banyak negara iaitu Algeria, Chad, Mesir, Libya, Mali, Mauritania, Maghribi, Nigeria, Sahara Barat, Sudan dan Tunisia dengan keluasan melebihi 9,000,000 kilometer persegi atau satu perempat daripada benua Afrika.

Cara hidup nomad kaum Ait Atta akhirnya terhenti selepas Maghribi berada di bawah naungan Perancis pada 1912 dan pembangunan aktiviti perlombongan di wilayah itu menjadi pemangkin kepada kemunculan pusat bandar dan garis sempadan negara dengan Algeria.

Kaum nomad ketika itu mula mencari kehidupan baru dan beralih kepada sektor perladangan (menanam pokok kurma) dan pelancongan.

"Kini keadaan saya jauh lebih baik. Setiap tahun saya datang ke sini selama seminggu untuk mandi pasir," kata Ali Kallamouche dari bandar Beni Mellal yang menderita masalah siatika atau kesakitan daripada pinggang yang menjalar ke tepi paha, betis dan kaki.

Kos untuk terapi mandi pasir di Merzouga boleh mencecah sehingga 10 euro (RM41) bagi satu sesi. Apabila 'pesakit' keluar dari lubang, badan mereka akan dibalut segera dengan tuala panas bagi mengelakkan berlakunya kejutan suhu persekitaran yang jauh lebih rendah berbanding ketika ditanam.

Ramai pelancong datang ke sini bukan untuk mencari rawatan penyembuh penyakit mereka semata-mata, tetapi mahu menikmati keindahan alam ketika matahari terbenam. Di sini pelancong boleh menyaksikan perubahan warna cahaya matahari senja dan 'perpindahan' jejeran bukit di kawasan gumuk pasir yang bersaiz 20 kilometer panjang, lima kilometer lebar dan 150 meter tinggi itu.

Walaupun masih menerima kedatangan pelancong yang mahu merasai pengalaman menunggang unta dan tidur di kawasan gurun, dengan keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan, penggiat pelancongan terpaksa bekerja keras mempelbagaikan produk pelancongan untuk terus menghidupkan kerjaya mereka.

"Orang datang ke sini untuk terapi mandi pasir dan merasai makanan tempatan yang kami sediakan menggunakan tumbuh-tumbuhan herba dan ada nilai perubatan," kata Abdessalam Sadoq.

Dia turut menjadi ketua persatuan yang bertanggungjawab mempromosikan pelancongan di Sahara.

Industri pelancongan menyumbangkan 10 peratus keluaran dalam negara kasar Maghribi. Menurut pakar pemasaran, dengan adanya pelancongan kesihatan, industri ini semakin berkembang.

Pada September lalu, Maghribi menjadi tuan rumah kepada Persidangan Spa dan Kesejahteraan Dunia yang mana pakar industri berkata, industri itu berkembang pesat dan menjana pendapatan sebanyak RM1.6 trilion.

Dalam senarai pelancongan kesihatan, Maghribi berada di tangga teratas mengalahkan Timur Tengah dan Afrika Utara apabila industri ini tumbuh melebihi 67 peratus sejak 2007.

Ali Kallamouche menjual susu unta yang didakwanya mempunyai manfaat besar khususnya bagi pesakit kencing manis, anemia dan orang yang ada masalah penghadaman.

"Orang dari seluruh dunia datang ke Merzouga untuk terapi mandi pasir, secara tidak langsung membantu kami memperkenalkan dan mempromosikan produk lain," katanya.

Pelancong yang datang ke sini bukan dari negara luar saja, malah orang Maghribi sendiri percaya kepada 'kuasa' dan kebaikan pasir gurun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Oktober 2014 @ 5:13 AM