AZADAN harap lebih ramai artis terbabit misi kemanusiaan.
AZADAN harap lebih ramai artis terbabit misi kemanusiaan.
Syanty Octavia Amry


Anggota kumpulan Rabbani, Azadan meminta lebih ramai artis membabitkan diri dalam aktiviti kemanusiaan.

Dia yang dilantik sebagai ikon Syria Care berkata, sebagai artis mereka mempunyai pengaruh besar dalam menarik perhatian orang ramai.

Oleh itu, dengan aktiviti kemanusiaan yang dilakukan, dia yakin Allah akan lebih mempermudahkan rezeki.

“Artis di Malaysia terlalu ramai dan program hiburan juga terlalu banyak. Jadi, keluarlah sedikit dari zon itu de­ngan melakukan aktiviti kemanusiaan seperti ini.

“Jangan terlalu fikir soal bayaran, buat kerja dulu insya-Allah secara tidak langsung rezeki itu pasti akan datang daripada sumber yang kita tidak jangka,” katanya.

Selain Azadan, pe­nyanyi Khai Bahar turut dilantik sebagai Ikon Syria Care. Mereka berdua selesai misi pertama pada hujung November lalu.

Berkongsi pengalaman itu, Azadan berkata, dia berharap lebih ramai lagi rakan artis akan terbabit sama ke misi seterusnya.

“Kami menyasarkan misi kedua pada Mac atau April tahun depan. Saya berharap lebih ramai artis dapat menyertai misi ini ke Istanbul.

“Mereka boleh melihat sendiri bagaimana kehidupan pelarian Syria di sana. Mereka menggunakan inisiatif sendiri untuk membina kehidupan bagi meneruskan generasi Syria untuk masa akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, Azadan dan Khai bakal memulakan siri jelajah ke institut pengajian tinggi dan pusat komuniti seperti NGO bagi mengutip dana bermula Januari ini.

“Menerusi siri jelajah ini kami akan berkongsi pengalaman selama berada di Istanbul, Turki di samping mengumpul dana untuk pelarian Syria di sana,” katanya.

Berkongsi perkemba­ngan seni, Azadan berkata, dia masih setia dengan kumpulan Rabbani. Single yang diterbitkan hanyalah untuk program kemanusiaan yang dia sertai.

“Single Seindah Memberi saya persembahkan untuk projek kemanusiaan yang saya lakukan. Bukan bermakna saya hendak bergerak solo.

“Tidak pernah lagi saya terfikir ke arah itu. Saya masih setia bersama dengan Rabbani,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Disember 2017 @ 4:20 AM