EPISOD 2 hangat dengan topik peluang kedua bersama Uqasha dan Fadzil.
EPISOD 2 hangat dengan topik peluang kedua bersama Uqasha dan Fadzil.
Georgie Joseph


Episod kedua Cuit Sikit kelmarin menjadi gelanggang panas apabila dua tetamu iaitu pelakon sensasi Uqasha Senrose dan penerbit drama Fadzil Teh memberikan pendapat sendiri berkenaan peluang kedua terhadap artis bermasalah.

Namun, yang pasti program terbitan Metro TV yang ke udara secara langsung di Facebook Harian Metro (HM) setiap Rabu, 9 malam itu memberikan ruang buat mereka meluahkan perasaan yang terpendam.

Uqasha berharap menerusi program itu sedikit sebanyak persoalan penonton mahupun netizen terjawab.

“Program sebegini menjadi platform terbaik bagi artis seperti saya bersuara. Ramai pastinya masih perlukan penjelasan sebenar keputusan kontroversi yang saya lakukan sebelum ini.

“Bukan itu saja, saya harap ia akan memberikan kekuatan kepada artis lain untuk tampil berani berbicara isu sebegini. Ia penting kerana sampai bila mahu jadi hipokrit dan biarkan diri dihentam,” katanya.

Membincangkan topik sama ada artis bermasalah perlu terus dihukum, pelakon Fathia Latiff yang sepatutnya menjadi tetamu kedua tidak dapat hadir.

Pelakon berkenaan mengalami jangkitan pada matanya namun tetap meluangkan masa diwawancara menerusi panggilan telefon.

Menurutnya, dia sentiasa percaya kepada rezeki tetapi tidak menyesal mengakui kesilapan yang dilakukannya.

“Saya sudah melanggar tata susila sebagai orang Melayu dan amat perlu untuk tampil membuat permohonan maaf. Memang kesannya besar tapi syukur saya masih terus diterima oleh jenama produk yang menaruh kepercayaan,” katanya.

Paling menarik apabila Fadzil pula berkongsi daripada sudut seorang penerbit dan individu yang bertanggungjawab terhadap periuk nasi artis.

Menurutnya, dia setuju peluang kedua perlu diberikan namun pada masa sama boleh ditarik balik sekiranya artis tidak belajar daripada kesilapan.

“Saya sendiri suka memberi peluang kedua kepada artis bermasalah yang sebenarnya berbakat dan cukup bagus. Bukan hanya kerana kesilapan mereka perlu terus dihukum sebaliknya jadikanlah peluang itu untuk menebus kembali apa yang terjadi.

“Bagaimanapun, kalau memang tidak belajar daripada kesilapan malah makin teruk memang layaklah tidak dilayan lagi,” katanya.

Teruja dan sangat sukakan konsep Cuit Sikit, Fadzil berharap program itu bakal memberikan ruang kepada penggiat seni mendapatkan keadilan.

“Saya sukakan konsep program Cuit Sikit yang sebenarnya amat diperlukan terutama berbicara isu serius dalam industri hiburan. Banyak perkara menarik yang sememangnya sesuai untuk diutarakan dan ini medium terbaik,” katanya.

Ditonton puluhan ribu pelayar FB HM, rata-rata komen yang diberikan netizen juga cukup positif mengenai topik dibincangkan. Selain penjelasan dua tetamu itu membuka mata, mereka turut memberikan semangat kepada Uqasha.

Program yang bersiaran selama 40 minit ini dibahagikan kepada lima segmen iaitu soal jawab Cuit Sikit, Apa Kata, 5 Kebaboom, Cik Pang dan Akustika.

Menerusi segmen Akustika, Neon Band mempersembahkan single terbaru mereka berjudul Cinta Yang Telah Mati.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Oktober 2017 @ 3:29 AM