PROGRAM bual bicara, info hiburan secara langsung setiap Rabu jam 9 malam.
PROGRAM bual bicara, info hiburan secara langsung setiap Rabu jam 9 malam.
Georgie Joseph


Sebuah program bual bicara dan info hiburan berjudul Cuit Sikit terbitan Harian Metro (HM) bakal disiarkan secara langsung setiap Rabu, jam 9 malam di akaun rasmi Facebook HM bermula hari ini.

Penulis Khas Kanan HM Tuan Asri Tuan Hussein berkata, program berkonsepkan sembang santai itu bakal mengupas topik hangat dalam industri hiburan termasuk isu yang kerap menjadi bualan dalam kalangan selebriti terkenal.

“Program hiburan sememangnya menjadi ikutan ramai dan Cuit Sikit bakal menjanjikan isi kandungan yang ber­informasi dan terkini,” katanya.

Program berkenaan yang dihoskan tiga wartawan hiburan HM iaitu Georgie Joseph, Sudirman Mohd Tahir dan Najiy Jefri itu bakal menampilkan dua selebriti popular sebagai tetamu undangan.

Tuan Asri berkata, program selama 40 minit itu akan dibahagikan kepada lima segmen iaitu soal jawab Cuit Sikit, Apa Kata, 5 Kebaboom, Cik Pang dan Akustika.

“Bukan saja berta­nyakan pendapat tetamu undangan, pendapat orang ramai turut diketengahkan menerusi segmen Apa Kata. Menerusi 5 Kebaboom pula, ia akan merangkumkan lima berita hiburan panas sepanjang minggu.

“Bagi yang ingin tahu mengenai gosip terkini, Cik Pang bakal berkongsi cerita panasnya, manakala menerusi Akustika pula penonton bakal dihiburkan dengan nyanyian bersahaja pe­nyanyi jemputan setiap episod,” katanya.

Bagi episod pertama yang akan bersiaran jam 9 malam ini, Cuit Sikit akan mengundang dua usahawan kosmetik dan selebriti popular, Datuk Seri Vida dan Nur Sajat membicarakan topik mengenai Kuasa Duit.

Bertepatan dengan topik itu, tidak dinafikan dua selebriti ini begitu berkuasa sebagai ahli perniagaan dan sekarang menjadi penyanyi pula.

Di samping menonton, penonton boleh memberikan komen atau bertanyakan soalan menerusi ruangan komen di FB Live itu nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2017 @ 4:10 AM