AISHAH (kanan) dan Dayang.
AISHAH (kanan) dan Dayang.
Georgie Joseph


Melabuhkan tirai musim pertama, program Cuit Sikit yang disiarkan secara langsung di Facebook Harian Metro (HM) malam kelmarin cukup mendapat sambutan apabila menampilkan dua penyanyi hebat iaitu Aishah dan Dayang Nurfaizah.

Dengan topik Diva, episod kelapan yang dihoskan wartawan hiburan HM, Sudirman Mohd Tahir itu menjadi medan membetulkan persepsi mengenai gelaran diva.

Yang pasti, Aishah dan Dayang masing-masing beranggapan gelaran itu tidak sepatutnya disalah erti memandangkan diva sendiri adalah gelaran positif.

Ia diberikan kepada artis atau penyanyi yang memiliki pencapaian mengagumkan dan pesona luar biasa.

Bagaimanapun, menurut Aishah dia sendiri tidak berasakan layak diberikan gelaran itu. Baginya masih ramai yang lebih layak mendapat gelaran demikian namun menyifatkan ia satu penghormatan buatnya.

“Diva asalnya gelaran yang diberikan kepada penyanyi opera berkelas tinggi dan divo pula untuk lelaki. Bagaimanapun, ia kemudian diberikan kepada penyanyi lain mengikut genre apa yang mereka kuasai.

“Sejujurnya, saya tidak berasakan diva adalah gelaran yang tepat untuk saya jika mengambil kira pencapaian dalam bidang muzik. Mungkin gelaran primadona lebih sesuai,” katanya.

Ramai beranggapan seseorang artis yang digelar diva juga mempunyai elemen eksklusif dan sukar didekati. Namun buat Dayang yang dahulunya dianggap sukar didekati, dia menepis tanggapan sebegitu.

“Mana ada saya sukar didekati dan terlalu eksklusif. Bagi yang mengenali diri saya pasti tahu bagaimana perwatakan sebenar dan saya langsung tidak berasakan layak digelar diva.

“Mungkin disebabkan jarang berkongsi kisah perbadi namun sekarang saya selalu mengemas kini perkemba­ngan karier di media sosial. Kadang-kadang ada jugalah terselit mengenai kisah peribadi namun jika tidak penting tak payah kongsi rasanya,” kata penyanyi Lelaki Teragung itu.

AISHAH dan Dayang dalam episod kelapan Cuit Sikit.
AISHAH dan Dayang dalam episod kelapan Cuit Sikit.

Aishah dan Dayang sebaliknya bersetuju jika gelaran diva itu diberikan kepada penyanyi yang begitu mempesona terutama di pentas. Bagi mereka, elemen terbabit perlu ada kerana itulah yang membezakan seseorang penyanyi dengan yang lain.

Menurut mereka, di Malaysia, Allahyarham Datuk Sharifah Aini adalah penyanyi paling tepat yang layak membawa gelaran berkenaan.

“Daripada suaranya, cara bercakap, dan pembawaan dirinya sangat mempesona. Apabila melihat dia berjalan pun sudah terserlah aura yang luar biasa membuatkan kita rasa sangat kagum padanya,” kata mereka.

Program Cuit Sikit yang mula bersiaran pada 11 Oktober, setiap Rabu jam 9 malam ini mengetengahkan lima segmen iaitu Isu Cuit Sikit, 5 Kebaboom, Apa Kata, Cik Pang dan Akustika.

Program berbentuk bual bicara santai ini menampilkan tiga wartawan Harian Metro iaitu Sudirman Mohd Tahir, Najiy Jefri dan Georgie Joseph selaku pengacara.

Musim kedua dijangka bakal disiarkan pada tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Disember 2017 @ 4:47 AM