NAM RON tetap berhati-hati kerana tidak mahu dianggap pesong akidah.
NAM RON tetap berhati-hati kerana tidak mahu dianggap pesong akidah.
Ramlah Zainal


PERNAH duduk di kerusi sutradara dan menggenggam trofi Pelakon Lelaki Terbaik bukan bermaksud Nam Ron tidak boleh bekerja dengan pengarah lain.

Nam Ron atau nama sebenarnya Shahili Abdan, 49, berkata, dia juga bersedia menimba ilmu dengan pelbagai pengarah dan syarikat produksi termasuk dari luar negara.

Terbaharu, Namron diberi kepercayaan membawa watak pembantu sebagai bomoh ilmu hitam dalam filem Dendam Pontianak arahan bersama Glen Goei dan Gavin Yap.

Menurut Namron, dia juga menimba pengalaman berbeza bekerja dengan dua pengarah terbabit.

“Sebagai pengarah dari Singapura dan bukan Melayu, Glen ada ego dan cara tersendiri ketika mengarah. Namun, dia tidak cepat hilang sabar malah cukup memahami dan percaya kepada bakat serta nama besar pelakon tempatan dalam filem ini.

“Skrip cerita ini pula dihasilkan Gavin yang juga anak tempatan. Gavin juga memang memahami cerita puntianak ini dekat dengan jiwa orang Melayu,” katanya.

Sebagai pelakon dalam filem itu, Nam Ron hanya mengikut arahan pengarah ketika di lokasi penggambaran.

“Saya bermula sebagai pelakon sebelum bergelar pengarah. Saya juga sedar dengan kedudukan sebagai pelakon apabila bekerja dengan pengarah lain.

“Begitu juga apabila kita mengarah, saya tidak akan cuba menjadi pelakon pula di lokasi. Mereka yang kenal tahu saya macam mana,” katanya.

Bercerita mengenai wataknya, Nam Ron berkata, dia mencipta sendiri jampi dan mantera dalam filem itu dengan bahasa yang sukar difahami penonton.

“Saya cipta sendiri bacaan jampi dan mantera itu kerana tidak mahu dipertikaikan penonton. Saya perlu berhati-hati kerana tidak mahu ia dianggap memesongkan akidah pula nanti.

“Watak bomoh ini penting kerana dia orang pertama dapat tahu mengenai gangguan puntianak di kampung itu.

“Saya juga perlu tampilkan kelainan dari segi dialog dan fizikal watak bomoh. Selain itu dengan teknik pernafasan dan bahasa yang menggerunkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 September 2019 @ 5:20 AM