FOTO kenangan Amerul (kiri) dan Nam Ron.
FOTO kenangan Amerul (kiri) dan Nam Ron.
Oleh Nor Akmar Samudin

Pelakon, Mohd Amerul Affendi Mohd Mawardi, 29, mula mengenali Nam Ron ketika dia belajar di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) pada 2005 dalam jurusan teater moden dan ekspremental di mana Nam Ron adalah salah seorang pensyarahnya.

Amerul yang juga pelakon biopik Saloma dan Psiko Pencuri Hati menjadi pelajar Nam Ron pada 2006 hingga 2008.

Dalam siri kedua Jejak Bintang ini, Amerul berkongsi pengalaman manisnya sepanjang menjadi pelajar Nam Ron atau nama sebenarnya, Shahili Abdan, 45.

Dia memangggil bekas pensyarahnya itu Abang Nam Ron.

"Abang Nam Ron adalah pensyarah yang amat memahami perasaan pelajarnya. Dia melayan saya dan pelajar lain seperti kawan. Selain itu, dia tidak pernah lokek ilmu dan apabila berbual dengannya seperti kawan yang sudah kenal lama.

"Dari segi penampilan dia seorang yang sangat 'sempoi' dan ringkas sehingga kami tidak kekok langsung untuk keluar makan atau minum dengannya. Sebagai pelajar waktu itu, saya amat mengagumi pandangan dan pemerhatiannya mengenai masyarakat. Dia bijak mengupas isu kemasyarakatan dalam setiap karya dan naskhah yang dihasilkannya," katanya.

Menurut Amerul, jiwa Nam Ron begitu dekat dengan masyarakat sehingga menjadikan dia seorang yang sa­ngat merendah diri.

"Bagi saya sejak mula mengenalinya sehingga sekarang dia adalah pengkarya hebat. Bakat seninya luar biasa dan mampu membawakan karakter dengan cukup baik, apatah lagi yang membabitkan jalan cerita dan watak yang sarat dengan emosi,," katanya.

Bagi memastikan pelajarnya bukan saja belajar teori dalam kelas, jelas Amerul, Nam Ron sangggup mengeluarkan duit poketnya sendiri membawa pelajarnya menonton teater di panggung luar.

"Kami yang belajar di ASWARA bukanlah semuanya anak orang senang termasuk saya. Kadang-kadang wang yang ada cukup-cukup untuk makan, minum, bayar sewa rumah dan membeli peralatan kuliah saja.

"Jadi apabila pementasan teater di luar, Abang Nam Ron yang belanja saya dan rakan pelajar lain. Dia memang jenis yang tidak berkira asalkan pelajarnya dapat menimba ilmu. Saya amat menghormati dan menghargai jasa serta pengorbanan­nya pada saya.

"Pernah juga saya tidak cukup duit untuk beli makan minum, Abang Nam Ron jugalah yang menghulurkan bantuan, begitu juga dari segi kebajikan lain seperti sakit demam dan sebagainya," kata anak kelahiran Temerloh, Pahang ini.

Nam Ron yang berasal dari Kampung Bahagia, Perlis pernah menyusuri kepayahan hidup dari zaman kanak-kanak sehinggalah dia dewasa. Lantas dengan mudah dia dapat menyelami hati nurani insan lain.

"Abang Nam Ron ada juga berkongsi sejarah hidupnya dengan saya. Dia juga anak kampung seperti saya dan apabila saya menamatkan pengajian di ASWARA, dia jugalah yang memperkenalkan saya kepada produser dan pengarah drama dan filem tanah air.

"Hubungan kami tidak pernah putus. Saya pernah bekerja dengan Abang Nam Ron dengan kumpulan teaternya iaitu Rumah Anak Teater. Kami kerja bersama-sama di mana dia banyak mengarah bahagian artistik.

"Meskipun ramai yang mengagumi bakat lakonannya, Abang Nam Ron masih menganggap ilmu lakonannya tidak sehebat mana. Dia mahu meningkatkan lagi persembahannya dan dia juga jenis yang tidak mudah berpuas hati," katanya.

Keakraban hubungan antara bekas pensyarah dan pelajarnya itu juga membuatkan Amerul turut mengenali keluarga Nam Ron.

Mewarisi 'ilmu kemanusiaan' daripada Nam Ron, Amerul menyimpan impian yang agak menyimpang daripada pekerjaan dilakukannya kini iaitu mahu membuka sekolah pondok di kampungnya.

"Masih ada anak-anak di kampung yang tidak mendapat peluang belajar dengan sempurna, lantas saya mahu menyediakan satu sistem pembelajaran pondok yang menggunakan medium seni untuk menimba ilmu dunia dan akhirat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 November 2014 @ 5:02 AM