KUALA LUMPUR 03 APRIL 2016. Penyanyi, Nita Hamzah. NSTP/EMAILEMAIL
KUALA LUMPUR 03 APRIL 2016. Penyanyi, Nita Hamzah. NSTP/EMAILEMAIL
Sudirman Mohd Tahir


PENYANYI Nita Hamzah terkejut apabila menerima kiriman mesej dan gambar lucah daripada lelaki di Facebook, 30 Ogos lalu.

Nita berkata, tindakan lelaki itu dianggap biadab dan melampaui batas kerana bertindak mengikut nafsu.

"Sebelum ini saya mendengar rakan lain terkena perkara sama tetapi apabila terjadi kepada diri sendiri saya memang terkejut. Apatah lagi ia dilakukan orang kita. Memang memalukan.

"Bukan saja mesej berbaur lucah malah turut menghantar gambar kemaluan. Saya baca dan tengok pun geli. Tertanya-tanya juga, apa yang dia fikir” katanya kepada Harian Metro.

Tindakan lelaki itu memaksa Nita meletakkan gambar profil lelaki terbabit di laman Facebook miliknya sebagai pengajaran.

"Kalau dia membaca status saya di Facebook lagi bagus. Jika tidak, saya berharap kenalan di Facebook yang mengenalinya boleh memberitahu dia.

"Jangan fikir saya artis dia boleh buat perkara tak senonoh. Saya juga punya hati dan perasaan. Bukan nak memalukan dirinya tetapi biar ia jadi pengajaran kepada orang lain agar lebih beradab selepas ini," katanya.

Nita juga menegaskan sepatutnya kecanggihan teknologi dimanfaatkan bukan disalahguna.

"Saya tidak pasti sama ada pengguna akaun ini wujud atau tidak. Kalau ia wujud, harap dia sedar. Ibu bapa pun perlu mainkan peranan.

"Berdasarkan gambar lelaki ini, saya berasakan dia remaja lagi. Jadi ibu bapa perlu pantau aktiviti anak mereka," katanya.

Nita juga tidak teragak-agak untuk membuat laporan polis sekiranya lelaki itu mengulangi perkara sama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 September 2017 @ 4:53 PM