NITA Hamzah. FOTO arkib NSTP
NITA Hamzah. FOTO arkib NSTP
Syafil Syazwan Jefri


PENYANYI Nita Hamzah, 38, bakal menamatkan zaman bujangnya, 29 April ini bersama pasangannya, Mohd Fareez Shamsul Bahari, 30.

Nita atau nama sebenarnya Norhanita Hamzah berkata, keputusan itu dibuat kira-kira sebulan lalu dan dipersetujui oleh keluarga kedua-dua belah pihak.

“Alhamdulillah, bulan lalu, Fareez secara tiba-tiba meluahkan hasrat untuk kami melangsungkan pernikahan pada 29 April ini.

“Keluarga kedua-dua belah pihak juga gembira dengan keputusan itu memandangkan mereka memang nak kami cepat-cepat bernikah,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, dia dan pasangannya memilih untuk bernikah terlebih dahulu.

“Kami bertunang pada Ogos tahun lalu dan kalau diikutkan perancangan, jangka masa minimum pertunangan kami adalah enam bulan dan maksimum, setahun.

“Tapi, dah alang-alang ada rezeki untuk kami bernikah, kami akan langsungkan saja. Fareez bagaimanapun meminta supaya kami selesaikan akad nikah terlebih dahulu.

“Kalau ada rezeki, majlis persandingan di pihak lelaki akan diadakan pada Ogos manakala di pihak saya, akan difikirkan tarikh selepas itu,” katanya.

Nita juga bersiap sedia dengan segala kemungkinan daripada kata-kata netizen apabila dia membuat keputusan untuk berkahwin yang nampak tergesa-gesa.

Ditanya mengenai majlis akad nikah itu, Nita memaklumkan ia akan diadakan secara tertutup di kawasan tempat tinggalnya yang terletak di Selayang.

“Memandangkan ini adalah akad nikah, saya dan Fareez memilih untuk mengadakannya secara tertutup dan dihadiri oleh keluarga serta teman-teman rapat kami,” katanya.

Nita yang juga pemenang tempat kedua program realiti Malaysian Idol musim kedua dan Fareez berkenalan sejak empat tahun lalu dan mengikat tali pertunangan pada 13 Ogos 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 April 2018 @ 2:11 PM