LAKONAN hebat Bront sebagai Harris.
LAKONAN hebat Bront sebagai Harris.
GANDINGAN serasi Remy dan Ezzaty dalam filem ini.
GANDINGAN serasi Remy dan Ezzaty dalam filem ini.
JASON (dua dari kanan) bersama pelakon pada malam gala filem Kau Takdirku.
JASON (dua dari kanan) bersama pelakon pada malam gala filem Kau Takdirku.
Ramlah Zainal


Bukan saja mengangkat kisah cinta tragis, filem Kau Takdirku juga mampu menyentuh emosi penonton sekali gus memenuhi cita rasa penggemar filem tanah air apabila menjengah pawagam bermula 7 September ini.

Filem arahan Jason Chong ini mempertaruhkan gandingan mantap pelakon hebat iaitu Remy Ishak, Bront Palarae dan Ezzaty Abdullah selaku teraju utamanya.

Selaku pengarah, Jason mengakui dia tidak sabar menanti maklum balas penonton terhadap filem cinta arahannya itu selepas tiga tahun menanti.

“Ia adalah filem romantik pertama arahan saya. Apa yang saya boleh katakan mengenai filem ini adalah ia naskhah yang cantik dengan sinematografi memukau.

“Saya juga bersemangat mengarah filem ini kerana kekuatan naskhah, jalan cerita dan barisan pelakonnya.

“Walaupun penggambaran selesai tiga tahun lalu, saya tetap percaya Grand Brilliance mempunyai percaturan hebat untuk memastikan filem ini berjaya apabila ditayangkan,” katanya.

Sebelum Kau Takdirku, Jason pernah menghasilkan filem Belukar, Dendam Orang Mati dan Ular.

Jason ditemui pada majlis tayangan perdana filem Kau Takdirku yang berlangsung di Cineplex, eCurve MutiaraDamansara, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengurus Besar Grand Brilliance Nor Shahila Harun Shah.

Mengenai barisan pelakon, kata Jason, pemilihan Ezzaty sebagai heroin diputuskan selepas sesi uji bakat.

“Ezzaty berjaya menjiwai watak Alya dengan baik selepas mengikuti kelas lakonan Fauziah Nawi.

“Manakala gandingan Remy dan Bront pula memang pilihan utama saya sejak awal lagi.

“Saya juga berpuas hati dengan prestasi lakonan dan komitmen diberikan semua pelakon dalam filem ini,” katanya.

Filem ini turut dibantu barisan pelakon seperti Kartina Aziz, Aisya Hasnaa dan Megan Tan.

Penggambaran di dasar laut

Jason turut mencabar dirinya melakukan penggambaran di dasar laut demi menyuntik kelainan.

Ia membabitkan lokasi menarik di sekitar Pulau Langkawi, Pulau Tioman dan Kuala Lumpur.

Menurutnya, penggambaran di dasar laut lebih teknikal berbanding di darat.

“Walaupun saya memiliki lesen selam skuba, penggambaran filem di dasar lautan bukan kerja mudah.

“Saya hanya dapat berkomunikasi dengan barisan pelakon dan jurukamera menerusi pandangan mata dan pergerakan tangan saja.

“Selain komunikasi sangat terhad, penggambaran juga mengambil masa dan menggunakan tenaga yang banyak,” katanya.

Ditanya soal babak, Jason menafikan dakwaan beberapa adegan intim membabitkan Alya (lakonan Ezzaty) dan seorang pelakon utama terpaksa dipotong.

“Setahu saya tidak ada potongan babak yang boleh menjejaskan naratif,” katanya.

Malam Gala meriah

Malam gala filem Kau Takdirku dimeriahkan dengan kehadiran Remy, Ezzaty, Aisya Hasnaa dan Megan Tan.

Barisan tetamu yang hadir turut dihiburkan dengan persembahan Datin Alyah dengan lagu tema filem ini berjudul Engkau Milikku.

Selain promosi filem Kau Takdirku yang giat dijalankan di platform digital, Primeworks Distribution juga bekerjasama dengan aplikasi wanita oleh media prima digital.

Aplikasi mudah alih ini dihasilkan khas untuk golongan wanita mengamalkan gaya hidup aktif dengan tip kecergasan dan kesihatan.

Kerjasama antara dua pihak adalah cara mempromosikan filem Kau Takdirku dengan menampilkan Remy dan Bront berkongsi gaya hidup aktif mereka.

Jangan ketinggalan menyaksikan treler rasmi filem Kau Takdirku di saluran YouTube Grand Brilliance dan 15 minit pertama filem ini di portal Tonton.

Maklumat lanjut filem ini boleh diperoleh dengan melayari laman Facebook, instagram dan Twitter Grand Brilliance di @grandbrilliance.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Ogos 2017 @ 4:39 AM