MEGAN teruja filem lakonannya Kau Takdirkan bakal masuk panggung.
MEGAN teruja filem lakonannya Kau Takdirkan bakal masuk panggung.
Syafil Syazwan Jefri


Jika sebelum ini, wajah pengacara Megan Tan pernah mengisi program sisipan 8TV Quickie, kini apabila tidak lagi mengendalikan program itu, Megan punya masa mengekspresikan minatnya menerusi portal yang dibangunkannya iaitu megsmesh.com.

Megan berkata, portal itu berkonsepkan gaya hidup dan merangkumi pelbagai sudut seperti fesyen, kecantikan, percutian, makanan dan isu sosial.

“Selain saya, turut terbabit ialah beberapa rakan sebagai penulis dan kakak saya, Lyn Tan,” katanya.

Walaupun sibuk dengan portal yang wujud sejak enam bulan lalu itu, Megan masih aktif sebagai pengacara.

“Dalam bidang pengacaraan, saya bergerak secara bebas. Terbaru, saya mengacarakan program Go Travel Go Asean iaitu dokumentari mengenai pelancongan dan percutian,” katanya.

Selain itu, Megan juga berbakat dalam bidang lakonan dan tidak lama lagi filem lakonannya, Kau Takdirkan bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara.

“Sebelum ini pun, saya pernah terbabit beberapa karya antaranya dua telefilem iaitu Sakura dan Semangat Kuda.

“Untuk filem Kau Takdirku, saya sekali lagi bekerja di bawah arahan pengarah sama dengan Semangat Kuda iaitu Jason Chong,” katanya.

Bercerita mengenai karakter lakonannya, Megan memegang peranan sebagai Mimi.

“Mimi bukan watak utama, tetapi sebagai penyeri dan menjadi salah seorang rakan karib heroin iaitu Alia lakonan Ezzaty Abdullah.

“Mimi digambarkan sebagai gadis yang periang dan lucu, sekali gus menjadi salah satu ‘penenang’ dalam filem yang boleh dikatakan tegang dan penuh emosi ini,” katanya.

Selesai menjalani penggambaran sejak empat tahun lalu, Megan pernah putus harapan dan menganggap filem ini tidak akan ditayangkan.

“Selama empat tahun menantikan kehadiran filem ini sejujurnya membuatkan saya berputus harap. Tapi, bila dikhabarkan ia akan ditayangkan, tentunya saya rasa teruja.

“Paling menarik adalah apabila saya berpeluang berlakon dengan pelakon hebat seperti Remy Ishak dan Bront Palarae. Banyak pengalaman dan ilmu baru yang saya dapat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Julai 2017 @ 1:58 PM