BRONT Palarae. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
BRONT Palarae. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Sudirman Mohd Tahir


Nama pelakon Bront Palarae bukan asing dalam industri perfileman tempatan. Berilah apa sahaja watak, Bront berjaya melakonkannya dengan baik.

Malah menjadi prinsip Bront atau nama sebenarnya Nasrul Suhaimin Saifuddin, 38, untuk memilih naskhah dan watak agar kualiti lakonan terjaga.

Siapa sangka setiap watak yang dibawa, Bront sebenarnya berusaha mengatasi ketakutan dalam diri.

Misalnya dalam filem terbaru lakonannya berjudul Kau Takdirku, Bront yang tidak pandai berenang menjayakan watak ‘Beach Boy’ bernama Harris yang memerlukannya berenang dan menyelam di dasar laut.

“Saya suka cabar diri dengan mencuba perkara yang belum pernah dilakukan sebelum ini. Dalam kehidupan sebenar, kita tidak boleh berharap ada yang mengawasi kita 24 jam. Namun, dalam lakonan ada ramai yang menjaga kita.

“Bagi merealisasikan watak ini, saya menghadiri kelas selam skuba. Cuma ada satu babak yang ditukar berikutan masalah cuaca yang memerlukan saya terjun dari batu tinggi ke dalam laut.

“Saya beritahu pengarah, jika ada orang yang berani buat barulah saya terjun. Kebetulan ketika itu ada seorang budak terjun dari tempat itu, jadi saya minta penyelam keselamatan tunggu dalam laut,” katanya.

Bagaimanapun, Bront dapat mengatasi ketakutan itu dengan meletakkan sepenuh kepercayaan terhadap pasukan keselamatan.

“Diakui memang menakutkan tetapi saya percayakan kredibiliti pasukan ini. Semua orang berjaga-jaga dan andai berlaku sesuatu, mereka pantas bertindak.

“Mak saya terkejut apabila dapat tahu saya menjayakan babak ini,” katanya.

Bront yang juga bintang filem Terbaik Dari Langit lebih tertarik untuk memilih watak yang mampu mencabar kredibilitinya sebagai pelakon.

“Lagi menakutkan lagi bagus. Saya tak suka buat projek yang klise atau terikat dalam zon selesa. Bukan apa, nanti saya berasa cepat bosan di lokasi,” katanya.

Ditanya adakah dia sudah boleh berenang selepas membintangi filem itu, Bront berkata dia belum boleh menguasai kemahiran itu.

“Saya boleh berenang jika tidak diminta berhenti. Kalau pengarah minta berhenti, saya pasti tenggelam,” katanya.

Mengulas lanjut filem arahan Jason Chong itu, Bront tidak menjangka wataknya menjadi kegilaan peminat. Tidak terkecuali watak Kamar lakonan Remy Ishak.

Reaksi positif itu membuatkan Grand Brilliance semakin rancak mempromosikan kedua-dua hero terbabit di media sosial rasmi syarikat produksi berkenaan dengan memperkenalkan #TeamBront atau #TeamRemy.

Dapat anak perempuan

Menyentuh kehidupan peribadinya, Bront berkongsi dia kini memiliki seorang anak perempuan berusia 16 bulan.

“Alhamdulillah selepas hampir tiga tahun berkahwin, kami dikurniakan cahaya mata pada April tahun lalu. Dek lama menunggu, saya dan isteri pernah terfikir mungkin kami tidak berpeluang timang cahaya mata.

“Kami tidak pernah merancang dan berserah kepada Allah SWT. Anugerah terindah ini (anak) cukup berharga buat saya dan isteri,” katanya.

Bront turut menjelaskan, dia bukan jenis yang suka berkongsi kisah peribadi di laman sosial.

“Apa sahaja membabitkan kisah peribadi, ia hak peribadi saya.

“Saya bukan jenis suka tayang di media sosial. Disebabkan itu, ramai tak tahu saya sudah berkahwin dan mempunyai anak.

“Namun begitu, saya tidak pernah menyembunyikan identiti isteri dan anak. Saya masih membawa mereka ke pusat beli-belah. Kalau ada peminat nak bergambar, saya okey sahaja,” katanya.

Menurut Bront, apa dilakukan itu bertujuan membolehkan isteri dan anaknya menjalani kehidupan biasa seperti orang lain.

“Cukup saya seorang saja ke depan. Saya tidak mahu berlaku sebarang masalah kepada mereka. Pada masa sama, mereka boleh bergerak bebas,” katanya.

Perkembangan lain, Bront baru selesai menjalani penggambaran filem Ayat Ayat Cinta 2 terbitan produksi Indonesia yang turut menampilkan Fazura.

Pada masa sama, Bront juga menantikan tayangan filem Safari Mall (Malaysia), Pengabdi Setan (Indonesia) dan Headshot (Indonesia).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 September 2017 @ 4:06 AM