KERJASAMA bawakan musim terbaru Pokemon di televisyen negara ini.
KERJASAMA bawakan musim terbaru Pokemon di televisyen negara ini.
Syanty Octavia Amry


Animonsta Studios Sdn Bhd yang terkenal dengan penghasilan siri animasi BoBoiBoy Galaxy buat pertama kalinya mengadakan kerjasama di antara anak syarikatnya iaitu Monsta Licensing bersama-sama dengan The Pokemon Company.

Kerjasama itu dilakukan bagi mengembangkan lagi skop urus niaga selain menghasilkan Harta Intelek (IP) sebelum ini.

Animonsta Studios kini menjadi pengedar buat IP antarabangsa di Malaysia dan kerjasama bersama The Pokemon Company ini adalah langkah pertama mereka ke arah melaksanakan matlamat ini.

Melalui kerjasama itu, Monsta Licensing akan membawakan musim terbaru Pokemon iaitu Pokemon Sun & Moon ke kaca televisyen tempatan.

Siri itu mengisahkan penggembaraan watak utama siri Pokemon, Ash Ketchum bersama temannya Pikachu merentasi wilayah Alola.

Selain itu, filem Pokemon terbaru sempena ulang tahunnya yang ke-20 iaitu I Choose You juga akan muncul di layar perak tanah air akhir tahun ini.

Filem berkenaan membawa penonton kembali ke Pekan Pallet apabila kisah awal Ash sebagai pelatih Pokemon diceritakan semula dengan lebih mendalam dan saat bermulanya pertemuan serta persahabatannya dengan Pikachu.

Fenomena Pokemon Go iaitu permainan genre Augmented Reality (AR) yang pantas merXaih populariti di dalam negara juga adalah petanda positif membuktikan Pokemon mempunyai peminat tegar di sini.

Sehubungan itu, TV dan filem Pokemon yang akan dibawa masuk ke Malaysia kelak diharap dapat membangkitkan minat dalam kalangan peminat baru dan lama.

Bersempena kerjasama ini, Monsta Licensing akan menganjurkan acara Meet & Greet di Alamanda, Putrajaya musim cuti sekolah nanti iaitu pada 26 Ogos hingga 3 September ini.

Peminat boleh bertemu dan bergambar bersama-sama maskot Pikachu dan berpeluang membeli barangan rasmi Pokemon yang eksklusif.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Ogos 2017 @ 2:11 AM