CARA Delevingn
CARA Delevingn
Susunan Michelle Gun


Bintang filem Valerian and the City of a Thousand Planets, Cara Delevingne tidak kisah membelanja RM565.57 juta demi meraikan ulang tahun kelahirannya bersama 20 sahabat baik di Mexico.

Model terkenal itu bakal genap usia 25 tahun pada 11 Ogos ini dan percutian istimewa itu turut disertai Kendall Jenner, Suki Waterhouse, Georgia May Jagger dan Jamie Winstone.

Sumber memberitahu Daily Mail, Cara mengambil keputusan membawa beberapa rakannya bercuti di Mexico sebaik selesai mempromosi Valerian and the City of a Thousand Planets di negara itu, baru-baru ini.

“Bintang itu bersama rakannya akan meneroka hutan, berkayak dan aktiviti lain untuk menikmati keindahan alam persekitaran diikuti parti besar-besaran.

“Percutian itu hanya untuk wanita dan Cara mahu meraikan usaha kerjanya sejak beberapa bulan lalu bersama insan yang rapat dengannya,” katanya.

Gadis jelita berasal dari London ini sememangnya dikenali menganjurkan parti liar dan percutian menarik untuk rakan.

Tahun lalu, Cara diberi kejutan dengan seorang model bogel melompat dari kek dan pada 2015, Suki menganjurkan parti menyambut ulang tahun bintang itu di kelab pelari bogel di Toronto, Kanada.

Dalam perkembangan lain, Cara dan kakaknya Poppy yang juga dikhabarkan membeli kediaman pelakon Jared Leto di Los Angeles, Amerika Syarikat yang berharga RM8.48 juta.

Kediaman mewah itu dilengkapi empat bilik tidur, dua dapur, studio rakaman dan kolam renang.

Adik-beradik terbabit mengambil keputusan melaburkan wang mereka membeli rumah di Los Angeles berikutan kerap mempunyai urusan di Hollywood.

Difahamkan, kediaman dibina pada 1955 itu dikatakan pernah dimiliki penyanyi Jimmy Durante.

Cara akan kembali ke layar perak menerusi filem Tulip Fever yang turut menampilkan pelakon Alicia Vikander, Dane DeHaan, Zach Galifianakis dan Judi Dench.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Ogos 2017 @ 1:22 PM