Ardini Sophia Sina


Pelik tetapi benar, begitulah yang boleh disifatkan mengenai aktres jelita, Cara Delevingne apabila menjelaskan dia tidak gentar untuk berada atau dikelilingi orang yang tidak dikenali.

Cara, gadis bertenaga dan tahu berseronok menjelaskan, dia tidak pernah rasa terasing apabila berada di mana-mana tempat baharu.

Bintang muda yang semakin menyinar di Hollywood itu berkata, walaupun dibiarkan keseorangan di sebuah tempat terpencil, dia yakin tidak akan berhadapan sebarang masalah.

Pelakon yang mula mencipta nama menerusi filem Anna Karenina ini suka berkenalan dengan orang asing kerana dengan cara itu dia akan belajar banyak perkara baharu.

“Sekiranya saya ditempatkan di kawasan yang mana tidak ada seorang pun yang mengenali saya sebagai pelakon, bukan masalah bagi saya. Hanya dengan melihat aktiviti beberapa anak muda sudah cukup menjadi asas untuk saya berkomunikasi dengan mereka.

“Saya boleh bergembira di mana sahaja saya berada. Kita tidak perlukan wang yang banyak atau tempat menarik untuk berseronok. Paling penting kita terima hakikat kehidupan, barulah kita dapat menikmatinya.

“Saya suka mengenali orang baharu. Saya tidak ada masalah duduk dan bersembang dengan mereka mengenai kehidupan, tidak kira mengenai hobi ataupun masalah yang mereka hadapi. Orang asing dapat memberikan saya definisi baru mengenai kehidupan,” katanya.

Bakal muncul dengan filem baharu Suicide Squad, sepanjang penggambaran Cara diminta untuk menjaga pemakanannya. Mereka tidak mahu karakter dijayakannya sebagai June Moone atau Enchantress kelihatan gemuk di layar lebar.

Bagaimanapun, Cara tidaklah terlalu menjaga pemakanannya. Dia masih meneruskan kegemarannya menikmati makanan segera. Namun, pada waktu sama dia pastikan akan bersenam bagi mengekalkan bentuk badan dan sekali gus membolehkan dia melakonkan watak seperti yang digambarkan oleh pengarah.

“Sebaik saja usia mencecah angka 20, apabila mengambil makanan segera dan mengambil minuman keras, ia akan cepat membuat perut buncit dan pipi kembung. Walaupun diberikan garis panduan agar tetap kelihatan langsing, saya tidak berhenti mengambil makanan segera.

“Bagaimanapun, saya masih bersenam untuk mengekalkan bentuk badan. Tetapi bukanlah senaman yang keterlaluan. Cuma gerakan ringan untuk mengeluarkan peluh. Saya bukanlah wanita yang terlalu menjaga tubuh. Saya makan semua yang saya mahu,” katanya.

Bercerita mengenai kehidupannya sebagai peragawati sebelum membina nama sebagai pelakon, katanya, kerjaya pertamanya itu sangat bertentangan dengan lakonan. Menjadi peragawati menjurus pada berpura-pura di hadapan kamera sedangkan lakonan adalah realiti.

Peragawati cenderung membuat muka serius dan seksi serta tidak menguntumkan senyuman ketika memperaga pakaian. Ia bagi mengekalkan imej elegan pada pakaian itu.

“Sepanjang bergelar model, saya tidak pernah senyum ketika memperaga. Kalau hendak diikutkan apabila kita mengenakan baju berwarna terang pasti kita berasa gembira, tetapi model tidak akan membayangkan perasaan itu.

“Saya masih berjalan dengan wajah serius, tidak ada senyuman dan melangkah penuh elegan. Berlainan dengan lakonan yang memberikan kita pelbagai emosi untuk digambarkan, tidak hanya pada wajah tetapi juga tubuh.

“Lakonan memberikan saya satu kehidupan. Walaupun cuma watak dalam sebuah karya, saya yakin pasti ada individu di tempat lain yang pernah berhadapan atau mengalami perkara sama seperti karakter dijayakan,” katanya.

Menyentuh mengenai kegemarannya yang terlalu kerap berkongsi gambar menerusi laman sosial Instagram, Cara menegaskan setiap kali ia dilakukan atas izin dan nasihat serta saranan daripada pengurusnya.

“Pengurus akan memaklumkan apa yang saya boleh lakukan. Saya biasanya akan menuruti permintaannya. Andai ada gambar yang saya muat naik itu menimbulkan masalah buat saya, pihak pengurusan akan meminta saya berdiam diri buat sementara waktu sebelum mengemas kini Instagram.

“Bagaimanapun, ada kalanya saya akan membantah dan buat saja apa yang saya suka. Saya rasakan seolah-olah ada orang lain yang masuk ke dalam badan saya dan mula mengendalikan Instagram itu,” katanya.

Suicide Squad dijangka ditayangkan pada Ogos depan. Cara kini menjalani penggambaran filem Valerian And The City Of A Thousand Planets.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 April 2016 @ 5:02 AM