MENYERTAI kejohanan berbasikal sempena UCI Road Championships 2016 di Qatar.
MENYERTAI kejohanan berbasikal sempena UCI Road Championships 2016 di Qatar.
Hafiz Ithnin


Jika membuka Instagram Ip_tri milik Lolyta Poniman anak kelahiran Tawau, Sabah ini sudah semestinya dapat membayangkan kegilaan beliau dalam sukan lasak antarabangsa.

Ibu kepada dua cahaya mata ini sudah menetap lebih 10 tahun di Doha dan menyertai lebih 10 kejohanan sukan rekreasi lasak di lebih 10 negara asing terutama di negara Teluk sejak 2013.

Lolyta yang lebih dikenali sebagai Loly

boleh dianggap sebagai wakil Malaysia ketika menyertai mana-mana kejohanan sukan rekreasi lasak antarabangsa. Masakan tidak, selain namanya, Jalur Gemilang antara logo wajib pada pakaian beliau ketika bertanding.

Baru-baru ini ketika berlangsungnya Ironman 2017 di Langkawi, sebagai rakyat Malaysia sudah semestinya beliau tidak melepaskan peluang menyertainya kerana acara ini diadakan di negaranya sendiri.

Katanya, Malaysia mempunyai keunikan dan cabaran yang tersendiri berbanding negara lain sekiranya menganjurkan aktiviti sukan rekreasi lasak.

“Bagi penganjuran sesuatu sukan rekreasi sudah tentu medan pertandingannya memerlukan landskap alam semula jadi yang sesuai dengan disiplin dipertandingkan sama ada larian, renang atau berbasikal.

“Malaysia mempunyai keunikan pemandangan alam semula jadi yang menarik seperti di Pulau Langkawi apabila saya bersama rakan atlet sukan rekreasi antarabangsa lain menyertai Ironman 2017,” katanya.

Katanya, dari segi latihan, jika ditanya sama ada Malaysia atau Doha, beliau lebih mengemari lakukan aktiviti latihan di Malaysia memandangkan iklim di negara ini tidak terlalu panas dan lembap sepanjang tahun.

Pada masa sama, beliau juga tidak menafikan kelainan iklim dan muka bumi berbanding negara lain juga penting kerana ia mampu menguji ketahanan atlet sukan rekreasi sepertinya berdepan cabaran alam semula jadi.

Katanya, dari segi cabaran aktiviti sukan rekreasi diadakan di Malaysia, katanya, bentuk muka bumi yang sukar dijangka sudah semestinya menambah kesukaran kepada peserta sukan rekreasi asing terutama jika mereka perlu berlari dalam hutan tropika yang sentiasa basah dan lembap.

“Meskipun cabaran trek atau muka bumi Malaysia ini sesuatu yang sukar, ia sudah pasti menjadi tarikan kepada peserta sukan rekreasi kerana cabaran seperti inilah yang menguji kemampuan kami,” katanya.

Loly berkata, sebagai rakyat Malaysia beliau sentiasa mengajak rakan atlet sukan rekreasinya dari luar negara untuk ke negara ini terutama bagi sesi latihan atau menyertai pelbagai kejohanan sukan lasak di Malaysia seperti larian gunung dan denai.

“Di Malaysia terdapat pelbagai aktiviti sukan lasak yang dianjurkan sama ada penganjur tempatan atau luar negara kerana ia platform bagus untuk menarik kehadiran lebih ramai atlet asing ke sini untuk bersukan serta melancong.

“Malah, ada rakan atlet Ironman saya ingin kembali ke Malaysia pada tahun depan untuk menyertai kejohanan sukan rekreasi yang diadakan di negara ini kerana tertarik dengan panorama serta cabarannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2017 @ 12:39 PM